Pembangkang Melaka: Semak Atau Sēmak?

Melaka Digest
By -
0

Pembangkang di Melaka tampil dengan wajah tanpa malu, mengaku diri sebagai juara isu rakyat dan mendabik dada kononnya berperanan sebagai semak imbang yang bertanggungjawab, berprinsip dan tegas.


Dalam perbahasan Bajet Negeri 2026, Perikatan Nasional dengan penuh yakin menyatakan komitmen mereka untuk meneliti setiap keputusan kerajaan, memantau setiap perbelanjaan, serta menilai keberkesanan setiap dasar demi memastikan rakyat menerima pentadbiran terbaik. Naratifnya kemas, kata-katanya tersusunmdan nadanya seakan mewakili suara rakyat.

Namun persoalan sebenar yang lebih penting ialah, adakah tindakan mereka di Dewan Undangan Negeri mencerminkan retorik tersebut?


Rekod kehadiran ADUN pembangkang Melaka sendiri membongkar realiti yang jauh berbeza. Mereka antara yang paling tercorot dalam menghadiri sidang DUN, platform asas untuk melaksanakan amanah semak imbang yang mereka sendiri laungkan.


Bagaimana mahu memantau dasar kerajaan jika hadir ke Dewan pun jarang sekali? Bagaimana mahu memastikan suara rakyat dibawa ke pentas perbahasan jika wakil mereka lebih banyak ghaib daripada hadir?

Lebih membimbangkan, terdapat ADUN pembangkang yang dikatakan tidak mengendahkan lebih 400 aduan penduduk di kawasan mereka sendiri. Aduan rakyat bukan bahan pameran untuk media sosial tetapi amanah yang menuntut tindakan. Jika aduan rakyat tidak dipedulikan, bagaimana mereka layak mendakwa diri sebagai pembela kepentingan rakyat?

Kelemahan ini turut terserlah apabila Ketua Pembangkang sendiri gagal membaca dan memahami struktur bajet negeri dengan tepat sehingga terpaksa menuduh Bajet Melaka sebagai “copy paste”.

Tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah memperlihatkan betapa ceteknya penguasaan terhadap dokumen kewangan negeri, dokumen yang sepatutnya dicerna, dianalisis dan dibahaskan secara profesional oleh seorang ketua blok pembangkang.

Maka persoalannya kembali kepada rakyat, apa yang sebenarnya boleh diharapkan daripada pembangkang yang tidak hadir, tidak turun padang, tidak membaca bajet dan tidak menyelesaikan aduan rakyat?

Semak imbang memerlukan komitmen, disiplin dan integrity, bukan slogan politik. Jika pembangkang mahu dihormati sebagai institusi semak imbang, mereka perlu terlebih dahulu menyemak diri sendiri sebelum muncul memberi syarahan tentang prinsip dan tanggungjawab. Jika tidak, peranan yang mereka dakwa sebagai “semak” itu akhirnya hanya menjadi “sēmak” yang mengganggu, bukan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)