![]() |
| Ahli Parlimen Jasin di majlis perkahwinan anak DS Rauf |
Chegu Bard, yang juga merupakan Ketua BERSATU Port Dickson, kini dilihat semakin terasing dalam gelanggang politik apabila gagal meraih sebarang sokongan terbuka daripada pimpinan PAS negeri Melaka. Situasi ini bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada rentetan tindakan dan kenyataan beliau sendiri yang mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber dalaman PN, Chegu Bard sebenarnya berada dalam senarai pemantauan khas Jawatankuasa Disiplin BERSATU susulan sikapnya yang kerap dan terbuka menyerang Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hampir setiap hari, beliau membangkitkan isu skandal rasuah dan kes berkaitan Jana Wibawa, termasuk menyeret menantu kepimpinan tertinggi parti. Tindakan ini dilihat melampaui batas disiplin parti dan mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pimpinan serta akar umbi.
Seorang penyokong PN di Tangga Batu mendedahkan bahawa tumpuan Chegu Bard lebih banyak diberikan kepada isu luar kawasan berbanding tanggungjawabnya sendiri sebagai Ketua Bahagian Port Dickson.
“Kawasan sendiri tidak diurus, rakyat dan penyokong BERSATU di Port Dickson ditinggalkan. Fokus beliau hanya pada kes Ali Pasir yang kononnya difitnah oleh Datuk Rauf,” katanya. Malah, menurut sumber itu lagi, saksi-saksi yang dibawa oleh Chegu Bard dalam pendedahan tersebut juga bukanlah individu asing dan latar belakang mereka sudah diketahui umum.
Lebih ketara, tiada satu pun kenyataan rasmi atau sokongan terbuka dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin PAS Melaka terhadap naratif yang dibawa Chegu Bard. Ketiadaan sokongan ini menjadi isyarat jelas bahawa PAS Melaka memilih untuk tidak terheret dalam polemik yang dianggap bersifat peribadi dan bermotif politik sempit. “Ada anda nampak mana-mana pemimpin PAS Melaka menyokong cerita yang mereka jaja?” soal penyokong PN itu secara sinis.
Bukan itu sahaja, sokongan dalam kalangan pimpinan BERSATU Melaka sendiri juga dilihat terpecah. Tiada barisan kepimpinan negeri yang tampil bersama Chegu Bard dalam mana-mana sidang media atau kenyataan terbuka. Keadaan ini menguatkan persepsi bahawa tindakan beliau tidak mendapat restu majoriti kepimpinan parti, malah dilihat membebankan BERSATU di peringkat negeri. Tambahan pula Ali Pasir sedang menghadapi 20 pertuduhan rasuah dan pemimpin PN Melaka tidak ingin terheret dalam penyebaran fitnah jahat.
Kegagalan Chegu Bard mendapatkan sokongan daripada PAS Melaka dan sebahagian besar pimpinan BERSATU sendiri menunjukkan bahawa pendekatan konfrontasi berterusan terhadap kepimpinan parti bukan sahaja tidak berkesan, malah semakin meminggirkan beliau daripada arus utama PN. Dalam politik gabungan, disiplin, kebijaksanaan dan keupayaan menjaga kepercayaan rakan sekutu adalah kunci, sesuatu yang kini dilihat semakin jauh daripada genggaman Chegu Bard.
Mas Ermieyatie yang satu ketika dahulu ‘rakan karib’ Chegu Bard pun menjauhkan diri juga.

