Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS nampaknya semakin parah dan retak menanti belah. Ceramah malam tadi dalam siri jelajah “Hogoh Jelai” di Pahang menjadi bukti bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pimpinan PPBM Pahang langsung tidak dijemput ke pentas ceramah yang dianjurkan sepenuhnya oleh PAS.
Program tersebut, menurut sumber dalaman, adalah idea Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri yang kini dikatakan sedang menyusun langkah untuk menawan Pahang dan meletakkan dirinya sebagai calon Menteri Besar sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Namun, ketiadaan Muhyiddin dan barisan utama PPBM di pentas ceramah telah mencetuskan tanda tanya besar di kalangan penyokong PN. Ramai melihat ini bukan “salah komunikasi” tetapi isyarat politik bahawa PAS dan PPBM kini tidak lagi sehaluan seperti dahulu.
Tambahan pula, di kalangan penyokong PN sendiri wujud kelompok atas pagar, mereka bukan ahli PPBM, bukan juga ahli PAS tetapi menyokong PN atas dasar alternatif politik. Kelompok inilah yang kini mula keliru dan kecewa melihat dua parti tunjang PN saling berjarak.
Bukan di Pahang sahaja, di Melaka juga khabarnya hubungan antara PAS dan PPBM semakin dingin. Beberapa ahli PAS Melaka yang hadir di Jelai malam tadi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.
Mereka mendakwa sudah tiba masanya Presiden PAS itu berundur, bukan sahaja kerana kesilapan menyebut “Barisan Nasional” dalam ucapannya yang dianggap suatu yang memalukan tetapi juga kerana tafsiran politiknya yang semakin jauh tersasar, terutamanya dalam isu penyertaan tokoh-tokoh kontroversi seperti Waytha Moorthy dan Ramasamy ke dalam gagasan PN.
“Siapa tak kenal Ramasamy dan Waytha Moorthy?” tegas seorang ahli PAS Melaka yang hadir malam tadi, merujuk kepada dua individu yang sebelum ini terkenal sebagai penggerak Hindraf dan pengkritik tegar “Malaysia Negara Islam” suatu ketika dahulu.
Malah parti Gerakan yang menolak subjek "Hadis 40" juga berada bersama PAS. Jadi apa yang membezakan antara kumpulan ini dengan DAP?
Kini, situasi dalam PN jelas menunjukkan keretakan semakin melebar bukan sahaja di peringkat pusat malah sudah mula menular ke negeri-negeri. PAS dilihat semakin mendominasi pentas politik gabungan itu, sementara PPBM pula semakin terpinggir.
