![]() |
| PPBM Bahagian Masjid Tanah |
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini berada di ambang kehancuran di Melaka apabila gelombang keluar parti secara besar-besaran mula merebak ekoran tindakan keras pucuk pimpinan pusat yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Krisis dalaman yang sekian lama membara kini meletup selepas beberapa pemimpin PPBM termasuk Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris menjadi mangsa ‘pembersihan politik’ oleh kem pro-Muhyiddin. Tindakan itu mencetuskan penentangan terbuka di peringkat akar umbi, menandakan kepercayaan terhadap kepimpinan pusat semakin hilang.
Difahamkan, lebih 100 ahli PPBM Bahagian Masjid Tanah telah mengisytiharkan keluar parti, manakala Bahagian Hang Tuah Jaya dilaporkan bakal dibubarkan sepenuhnya dalam masa terdekat. Di Kota Melaka, keadaan lebih parah kerana hanya tinggal Ketua Bahagian dan beberapa kerat AJK yang masih kekal bersama kepimpinan pusat.
“Bahagian Kota Melaka sekarang hanya tinggal Ketua Bahagian dan beberapa kerat AJK sahaja. Yang lain semua sudah berpaling arah. Mereka lihat PPBM di bawah Muhyiddin sudah hilang arah dan dikuasai kelompok elit tertentu,” ujar sumber dalaman.
Ketegangan kini semakin ketara apabila PPBM Melaka terbahagi kepada dua kem besar, kem pro-Muhyiddin dan kem Ali Pasir yang dikatakan mendapat sokongan kuat daripada aktivis politik lantang, Chegu Bard.
Sumber mendakwa kem Ali Pasir semakin mendapat tempat dalam kalangan ahli yang kecewa dengan cara Muhyiddin mengurus parti yang dianggap autokratik, tidak mendengar suara akar umbi, dan lebih mementingkan politik individu daripada perjuangan asal parti.
“Chegu Bard sendiri sudah berani menegur dan menyerang Ketua Penerangan PPBM Malaysia secara terbuka. Itu tanda jelas bahawa kuasa Muhyiddin sudah tidak lagi mutlak,” kata seorang ahli PPBM dari Melaka Tengah.
Situasi ini memperlihatkan PPBM kini berada di ambang perpecahan total. Melaka menjadi pentas ujian kepada sejauh mana Muhyiddin mampu mengekang pemberontakan dalaman yang makin menular ke negeri-negeri lain.
Persoalannya kini mampukah PPBM bertahan atau akan mengulangi nasib parti serpihan lain yang lenyap ditelan perebutan kuasa dan kerakusan dalaman?
Dalam kem pro-Muhyiddin pula, serangan balas semakin tajam. Mereka melontarkan ejekan sinis terhadap Ali Pasir yang didakwa menggunakan orang luar seperti Chegu Bard sebagai ‘jurucakap’ dan ‘lapdog’ politik seolah-olah tiada lagi tokoh Melaka yang sanggup berdiri bersamanya.
Lebih parah, Ali Pasir sendiri kini bergelut dengan status sebagai ‘kluster mahkamah’ berikutan kes rasuah yang menghantui reputasinya.
Sementara itu, Mas Ermieyatie Samsudin pula dilihat memilih jalan selamat, beliau menikus dan “playsafe”, tidak memihak secara jelas kepada mana-mana kem. Namun, sikap berdiam diri beliau turut menimbulkan persoalan tentang keberanian dan kesetiaan dalam menghadapi masalah keretakan dalaman parti.
