Krisis Politik Perlis: Kerusi Kosong Rakyat 3 DUN Terbiar? - Dr. Fathul Bari

Melaka Digest
By -
0
 
Kenyataan daripada Dr. Fathul Bari, Ketua UMNO Bahagian Kangar.
 
Perkembangan politik di Perlis ketika ini menimbulkan satu persoalan besar yang tidak boleh dipandang ringan, mengapa kerusi rakyat di tiga Dewan Undangan Negeri dibiarkan kosong dan mengapa keputusan ini tidak dinilai semula?

Keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat bukan sekadar isu dalaman parti, sebaliknya membawa implikasi langsung terhadap kehidupan rakyat yang telah memberikan mandat melalui peti undi. Dari sudut prinsip demokrasi dan amanah pengundi, keputusan ini jelas merugikan dan sukar dipertahankan.

Hakikatnya, hampir dua tahun tempoh penggal rakyat di tiga DUN terlibat berdepan kemungkinan hidup tanpa wakil rakyat. Ketiadaan wakil bermaksud ketiadaan suara rasmi di Dewan Undangan Negeri, ketiadaan saluran berkesan untuk membawa aduan dan ketiadaan tempat bergantung bagi mendapatkan pembelaan terhadap masalah harian mereka. Ini bukan soal percaturan kuasa atau kepentingan parti tetapi soal hak asas rakyat yang sewajarnya dipelihara tanpa kompromi.

Wakil rakyat yang dipilih sebelum ini dipilih oleh rakyat, bukan oleh parti semata-mata. Mereka diberi mandat untuk berkhidmat sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan negeri sebagai suara kepada isu setempat dan sebagai penjaga kepentingan awam.

Jika Pilihan Raya Kecil tidak dapat dilaksanakan atas apa jua alasan, maka pendekatan paling adil, rasional dan bertanggungjawab ialah membenarkan wakil sedia ada meneruskan tugas sehingga tamat penggal dan PRU diadakan. Mengosongkan kerusi tanpa penyelesaian bermakna menghukum rakyat atas keputusan politik yang tidak mereka tentukan.

Keputusan PAS untuk tidak menerima lantikan Exco Kerajaan Negeri pula tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan peranan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri. Fungsi wakil rakyat tidak terhenti hanya kerana ketiadaan jawatan eksekutif. Saluran perundangan dan institusi sedia ada masih membolehkan suara rakyat dibawa, ditegur dan diperjuangkan. Menggugurkan peranan ini hanya akan menambah jurang antara rakyat dan institusi kuasa.

Walaupun Dr. Fathul bukan ahli PAS dan tidak berkepentingan dalam urusan dalaman parti tersebut, isu ini melangkaui garis kepartian. Ia menyentuh soal tanggungjawab moral dan keprihatinan terhadap nasib rakyat. Apabila keputusan politik berpotensi menyebabkan rakyat terpinggir, maka suara teguran wajar dibangkitkan demi kepentingan bersama.

Sehubungan itu, Dr. Fathul Bari menyeru agar PAS Pusat menilai semula keputusan ini secara matang, berhemah dan bertanggungjawab dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi. Politik seharusnya menjadi medan khidmat dan penyelesaian bukannya punca rakyat kehilangan suara, harapan dan pembelaan. Dalam demokrasi, kerusi yang dibiarkan kosong bukan sekadar simbol kelemahan politik ia adalah lambang amanah rakyat yang terabai.
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)