BERSATU Melaka Dimalukan oleh PAS

Melaka Digest
By -
0

Tindakan PAS Melaka mengumumkan penerimaan 56 orang ahli baharu, termasuk Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas pengulas sukan serta wartawan TV3, Datuk Dahlan Maamor, menimbulkan persoalan besar dalam landskap politik Perikatan Nasional (PN), khususnya melibatkan maruah dan kewibawaan BERSATU di peringkat negeri Melaka.


Pengumuman tersebut cuba dipersembahkan sebagai kejayaan politik PAS. Namun hakikatnya, senarai individu yang diketengahkan bukanlah aset baharu yang membawa nilai strategik kepada rakyat, sebaliknya mencerminkan krisis identiti dan arah perjuangan yang semakin kabur.


Khairuddin Abu Hassan diketahui umum sebagai figura rapat dengan Mahathir Mohamad dan merupakan antara tokoh utama dalam Parti Pejuang. Perpindahan beliau ke PAS bukanlah suatu lonjakan sokongan akar umbi, sebaliknya sekadar peralihan elit politik yang telah berulang kali bertukar wadah, tanpa membawa impak jelas kepada rakyat bawahan.


Lebih mengundang tanda tanya ialah kemasukan Dahlan Maamor. Rekod menunjukkan beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Anthony Loke Siew Fook dari tahun 2018 hingga 2020, ketika DAP berada dalam kerajaan. Pada Mac 2024 pula, Dahlan secara rasmi menyerahkan borang keahlian BERSATU kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin. Persoalannya, apakah nilai politik sebenar individu yang baru sahaja menyertai BERSATU, namun kemudiannya berpindah ke PAS?


Jika lompat parti dijadikan ukuran kejayaan, maka politik tidak lagi berteraskan prinsip tetapi semata-mata permainan oportunis tanpa haluan ideologi. Lebih membimbangkan, penerimaan tokoh yang pernah berkhidmat rapat dengan DAP tanpa sebarang penjelasan pendirian atau muhasabah prinsip, secara tidak langsung mencairkan naratif perjuangan yang selama ini dilaungkan PAS.


Dalam konteks ini yang kelihatan dimalukan bukan sekadar BERSATU Melaka, tetapi keseluruhan semangat Perikatan Nasional. Rakyat tidak menilai politik melalui jumlah borang keahlian yang diserahkan tetapi melalui konsistensi prinsip, integriti tokoh dan keupayaan membawa penyelesaian kepada masalah sebenar negara.

Adakah individu-individu seperti ini benar-benar bernilai untuk rakyat atau sekadar bahan pameran politik jangka pendek?

Rahim Tamby Chik tersenyum kelat dan muka ADUN BERSATU Melaka juga ketat, malu. 
 
Terubatkah luka PAS di Perlis? 

Mana Mas Ermieyati?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)