Krisis Politik Perlis: Dr Arman Dakwa Wujud ‘Broker’ Dalaman PAS

Melaka Digest
By -
0

Krisis politik di Perlis terus memanas apabila Dr Arman Ashaari, menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya, mendedahkan dakwaan serius mengenai kewujudan seorang individu di dalam PAS yang didakwa bertindak sebagai “broker” bagi pihak tertentu dalam usaha menggugat kepimpinan kerajaan negeri. Pendedahan ini, menurut beliau menjelaskan sebahagian besar kekeliruan dan manuver politik yang berlaku kebelakangan ini.


Menurut Dr Arman, individu tersebut yang buat sementara waktu dirujuk sebagai Mr. FH merupakan ahli PAS di Perlis dan didakwa berperanan aktif menghubungi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS bagi pihak seorang tokoh politik Perlis yang dirujuk sebagai Mr. RS(Kerabat Istana Perlis?). Tujuan utama perhubungan itu, dakwanya, adalah untuk mengatur pertemuan dan mendapatkan tandatangan Akuan Berkanun (SD) dalam usaha menukar Menteri Besar Perlis.

Dakwaan tersebut menjadi lebih serius apabila Dr Arman menyatakan bahawa individu berkenaan bukan sekadar menghubungi ADUN tetapi turut “memancing” mereka dengan tawaran jawatan. ADUN-ADUN PAS dikatakan dijanjikan kedudukan Exco tertentu selepas Menteri Besar baharu mengangkat sumpah, lengkap dengan pembahagian portfolio seperti Exco Agama, Exco Belia dan Exco Pihak Berkuasa Tempatan. Menurut Dr Arman, janji-janji inilah yang mendorong tiga orang ADUN PAS menandatangani SD, malah salah seorang daripada mereka didakwa ditawarkan jawatan Menteri Besar.

Dr Arman turut mendedahkan modus operandi individu berkenaan yang didakwa menggunakan nama Istana bagi meyakinkan ADUN-ADUN PAS.

ADUN dikatakan diminta menandatangani SD bagi menukar Menteri Besar dan pada masa sama diminta menyediakan ‘curriculum vitae’ (CV) sebagai persediaan untuk dilantik sama ada sebagai Menteri Besar atau Exco. Atas alasan itu, individu tersebut dikatakan digelar “Tengku” FH kerana mendakwa dirinya sebagai wakil Istana.

Dalam kenyataannya, Dr Arman menegaskan bahawa semua dakwaan ini bukan dibuat secara kosong. Beliau mendakwa memiliki bukti dalam bentuk gambar sebenar individu terbabit, rakaman audio serta tangkapan layar perbualan yang menyokong pendedahan tersebut. Menurutnya, semua bahan itu berada dalam simpanannya dan akan didedahkan sekiranya individu berkenaan cuba menafikan dakwaan tersebut.

Dr Arman menutup pendedahannya dengan memberi bayangan bahawa lebih banyak maklumat akan didedahkan dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa apa yang dikongsikan setakat ini hanyalah permulaan kepada pendedahan lebih besar mengenai peranan “broker” dalaman yang didakwa menjadi punca sebenar kekalutan politik di Perlis.

Menurut pandangan penganalisis tempatan, 3 ADUN PAS wajar tampil untuk membersih nama mereka dari dakwaan yang serius ini.
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)