Episod panjang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencatat satu lagi detik penting apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersalah atas kesemua pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapinya berkaitan penyelewengan dana 1MDB.
Hakim perbicaraan, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika menyampaikan keputusan di Istana Kehakiman, menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah. Keputusan itu sekali gus menolak pembelaan Najib yang didakwa gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah kes terhadap tertuduh berhubung pertuduhan pertama. Oleh itu, saya mensabitkan tertuduh atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” kata hakim.
Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memperoleh suapan, satu kesalahan serius yang menyentuh teras integriti pentadbiran awam.
Mahkamah turut mensabitkan Najib bersalah atas pertuduhan kedua, ketiga dan keempat yang kesemuanya berkaitan salah guna kuasa kerana menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk memperoleh suapan. Keputusan tersebut mengukuhkan dapatan mahkamah bahawa wujud penyalahgunaan kuasa secara sistematik dalam pengurusan dana 1MDB.
Najib yang kini berusia 72 tahun, didakwa pada tahun 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes ini bermula pada 2019 dan menjadi antara kes berprofil tertinggi dalam sejarah kehakiman negara, memandangkan ia melibatkan dana awam berskala berbilion ringgit dan tokoh politik tertinggi negara.
Menurut pertuduhan, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014. Dana tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dituduh melakukan transaksi melibatkan dana yang sama di bank berkenaan antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.
Untuk rekod, Najib telah diarahkan membela diri terhadap semua pertuduhan ini pada 30 Oktober 2024, selepas hakim yang sama memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
