Gelombang politik Perikatan Nasional kembali bergegar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, berhubung siasatan projek fidlot ternakan lembu milik kerajaan negeri.
Penahanan itu dilakukan petang semalam selepas siasatan sejak Februari mendakwa wujud penerimaan bayaran sekitar RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek berprofil tinggi tersebut.
Menurut sumber, 15 saksi telah dirakam keterangan dengan fokus siasatan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan kuasa ketika beliau memegang portfolio Exco Pertanian Kedah.
Difahamkan, selepas proses mengambil keterangan selesai, Azman dibebaskan dengan bon peribadi dan diberikan notis untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin ini, di mana pertuduhan dijangka dibacakan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa keterangan diambil di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 sebelum beliau dilepaskan dengan jaminan.
Perkembangan ini dijangka menjadi tumpuan hangat medan politik nasional, khususnya ketika PN giat memposisikan dirinya sebagai blok politik ‘bersih dan berintegriti’. Penahanan seorang lagi pemimpin utamanya dalam kes berprofil tinggi bakal membuka episod baharu dalam naratif integriti gabungan itu.
