Bajet Melaka 2026: Lima Inisiatif ‘Digital-kan Melaka’

Melaka Digest
By -
0

Melaka mengorak satu lagi langkah besar dalam agenda pendigitalan dengan memperkenalkan rangkaian inisiatif strategik bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam pada tahun 2026. Langkah ini menegaskan komitmen Kerajaan Negeri menuju ekosistem digital yang inklusif, cekap dan responsif kepada keperluan rakyat.


Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, ketika membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 bertemakan “Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat” di Dewan Undangan Negeri hari ini, berkata antara tumpuan terbesar ialah pemerkasaan Sistem E-mel Rakyat Negeri Melaka dengan peruntukan RM650,000. Sistem komunikasi rasmi ini disasarkan menjana 250,000 akaun baharu melibatkan pelajar, guru, asnaf serta Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam Sistem Kampung Digital Melaka.

Sistem tersebut akan diperkasakan melalui sesi penerangan pada Konvensyen Khas Pendidikan Melaka pada 12 dan 13 Disember 2025 di MITC. Sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM turut akan dijadikan projek rintis sebagai platform rasmi komunikasi antara guru dan ibu bapa, menjadikan pendidikan negeri ini antara yang terawal menggunakan sistem komunikasi digital berskala penuh.

Kerajaan Negeri turut memperkukuh Sistem Kampung Digital Melaka dengan peruntukan RM500,000. Setakat ini, lebih 70 peratus daripada 72,394 rumah di seluruh Melaka telah berdaftar di bawah inisiatif ini, termasuk 3,030 penduduk yang menukar alamat pada kad pengenalan secara percuma, ini adalah gambaran jelas penerimaan rakyat terhadap ekosistem digital negeri.

Melaka juga bakal menjadi negeri perintis dalam pengurusan tanah perkuburan digital melalui Inisiatif Kubur Digital. Setiap plot kubur akan dinomborkan secara digital bagi memudahkan waris mengesan lokasi pusara keluarga dengan lebih cepat dan tepat, satu inovasi yang menempatkan Melaka di hadapan negeri lain dari sudut pengurusan data utiliti awam.

Dalam masa sama, Sistem Pembelian Tiket Online Kompleks Falak Al-Khawarizmi akan diperkenalkan dan dijangka meningkatkan tempahan sehingga 40 peratus. Kerajaan Negeri turut memperluas rangkaian WiFi percuma dengan peruntukan RM450,000 meliputi kawasan ICQS Kota Laksamana, sekolah-sekolah agama JAIM, tadika serta sembilan Kampung Orang Asli.

Bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam gelombang digital, sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk meneruskan Program MeSRa Digital Melaka yang bakal memberi manfaat kepada 6,650 penduduk. Program ini merangkumi pembangunan Belia Digital Melaka yang menyasarkan lebih 3,000 belia serta penyediaan Smart TV di 13 buah sekolah termasuk SRA JAIM, ini merupakan usaha yang membina generasi muda yang mahir teknologi dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.

Melalui pelaburan yang terancang, komprehensif dan berpaksikan rakyat, Melaka bukan sahaja memperkukuh infrastrukturnya tetapi mengorak langkah sebagai negeri contoh dalam transformasi digital nasional.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)