Bajet Melaka 2026: Penjawat Awam Melaka Terima BKK Setengah Bulan Gaji, Minimum RM2,000

Melaka Digest
By -
0

Seramai 5,200 penjawat awam di Melaka bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 menjelang akhir bulan ini, sekali gus memperkukuhkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan perkhidmatan awam. Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan RM11.379 juta dan turut memberi manfaat lebih daripada sebulan gaji kepada 1,153 penjawat awam negeri, termasuk 631 guru KAFA dan Tadika JAIM.


Mengangkat tema “Pembangunan Terancang, Demi Rakyat, Untuk Rakyat”, Bajet Negeri Melaka 2026 terus menumpukan sokongan berterusan kepada barisan penjawat awam apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengumumkan tambahan RM500 kepada semua penjawat awam negeri pada Mac tahun hadapan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menghargai sumbangan pengamal media Melaka dengan pemberian insentif khas sekali beri sebanyak RM500, melibatkan kos RM75,000, satu pengiktirafan terhadap peranan media sebagai rakan strategik pembangunan negeri.

Bajet 2026 yang dibentangkan itu memperuntukkan RM528.8 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM93 juta untuk pembangunan. Sebanyak 204 inisiatif disusun di bawah kerangka Melaka Sayang Rakyat (MESRA) yang diterjemahkan melalui 13 tumpuan strategik, merangkumi keperluan sosial, ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan mampan negeri.

Menurut Ketua Menteri, belanjawan kali ini dirangka dengan ketelitian penuh bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi pulangan langsung kepada rakyat, sama ada dalam bentuk kesejahteraan hidup, peluang ekonomi atau peningkatan mutu perkhidmatan negeri. Melalui pendekatan berfokus dan terancang, Melaka meneruskan momentum pembangunan dengan matlamat memastikan manfaatnya dirasai secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)