Kes tiga penjenayah yang ditembak mati di Melaka baru-baru ini terus menarik perhatian rakyat, khususnya selepas tular dakwaan bahawa salah seorang isteri mangsa sempat merakam perbualan akhir sebelum kejadian. Namun, pelbagai reaksi dan keraguan timbul di kalangan netizen, termasuk soal sama ada rakaman tersebut benar-benar tulen atau sekadar direka bagi memanipulasi pandangan umum.
Seorang pengguna TikTok bernama ‘Mawar Biru519’ mempersoalkan kelancaran dan gaya rakaman, dengan menyindir bahawa ia kedengaran seperti sesuatu yang sudah dirancang. Netizen lain, ‘shahrolraffie’, turut menimbulkan persoalan apabila memerhati bahawa kualiti suara rakaman tersebut kekal sama dari awal hingga akhir, seolah-olah tidak menggambarkan situasi cemas yang sedang berlaku.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, rakaman audio sebenarnya boleh menjadi bukti penting dalam siasatan jenayah. Namun penerimaannya tidak bersifat automatic, ia perlu memenuhi syarat yang digariskan oleh Akta Keterangan 1950 serta dinilai dari sudut keaslian, ketepatan dan relevannya terhadap fakta kes.
Undang-undang menetapkan bahawa rakaman audio diiktiraf sebagai dokumen kerana ia merakam maklumat secara elektronik. Rakaman yang menunjukkan motif, perancangan, persediaan jenayah atau kelakuan suspek juga adalah fakta relevan yang boleh diterima oleh mahkamah. Jika rakaman menunjukkan unsur perbuatan bersama atau konspirasi, ia turut boleh digunakan bagi mengaitkan beberapa individu dalam suatu rangkaian jenayah.
Keutamaan juga diberikan kepada bentuk rakaman asal kerana ia dianggap sebagai bukti primer, manakala salinan hanya diterima sebagai bukti sekunder sekiranya syarat dipenuhi.
Aspek paling kritikal dalam menilai rakaman audio adalah peruntukan dokumen elektronik di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950. Melalui seksyen ini, audio boleh diterima sebagai bukti sah jika disahkan oleh individu yang mengendalikan rakaman tersebut atau disertakan dengan sijil autentikasi yang memenuhi keperluan undang-undang.
Selain itu, mahkamah turut menilai aspek kesahihan dan cara rakaman tersebut diperoleh. Keaslian mesti dibuktikan termasuk rakaman tidak boleh dipinda, disunting atau diubah. Rantaian jagaan atau chain of custody juga perlu jelas, iaitu bagaimana rakaman dibuat, siapa menyimpannya, bagaimana ia dipindahkan dan bila ia diserahkan kepada pihak berkuasa.
Dari sudut kredibiliti, mahkamah turut meneliti individu yang membuat rakaman serta konteks perakamannya bagi memastikan rakaman itu bukan manipulasi atau rekaan semula. Kesemua faktor ini akan menentukan sama ada sesuatu rakaman layak dianggap bukti kukuh atau sebaliknya.
Realitinya, tidak semua rakaman audio yang tular di media sosial mampu bertahan sebagai bukti di mahkamah. Dalam kes di Melaka ini, sebarang audio yang disiarkan awam belum tentu mempunyai kekuatan perundangan jika tidak disokong oleh keaslian teknikal dan pematuhan kepada undang-undang.
Justeru, spekulasi masyarakat perlu berhati-hati agar tidak mendahului proses siasatan profesional. Pihak berkuasa mempunyai garis panduan jelas dalam menilai rakaman audio, dan hanya bukti yang benar-benar sahih akan dipertimbangkan dalam menentukan kebenaran kejadian.
Apa kata pakar dalam rujukan kes contoh:

Datuk Salleh Buang
Pakar Undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, mengambil contoh kes pendedahan bukti audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekiranya rakaman intipan melalui telefon bimbit dibuat dengan pengetahuan mahkamah, maka bukti itu tiada masalah digunakan.
Bagaimanapun, sekiranya perbuatan intipan itu dibuat tanpa izin, secara jelas ia melanggar undang-undang privasi sekali gus menjadikan rakaman perbualan itu sebagai bukti jenayah diperolehi tidak rasmi (unofficialy obtained evidence).
"Sekiranya bukti rakaman audio perbualan itu dalam proses siasatan pihak berkuasa, ia mungkin boleh membantu siasatan tetapi akan menjadi masalah jika hendak dibawa ke mahkamah.


