Perlis: ADUN Bintong Pertikai Pengisytiharan Kerusi Kosong, Dakwa Masih Wakil Rakyat Sah

Melaka Digest
By -
0

Krisis politik di Perlis terus panas apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail tampil mempertikaikan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang mengisytiharkan kerusi Bintong, Chuping dan Guar Sanji sebagai kosong susulan pelucutan keahlian tiga ADUN terbabit daripada PAS.


Bagaimanapun, Fakhrul Anwar memilih pendekatan berhati-hati dan berprinsip apabila menegaskan beliau tidak akan terburu-buru mengambil sebarang tindakan undang-undang tanpa mendapatkan pandangan bebas daripada pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang.

“Saya bukan berniat mencabar keputusan, sebaliknya mahu mendapatkan nasihat dan panduan secara objektif. Jika keputusan Speaker itu benar menurut undang-undang maka tiada isu. Namun jika sebaliknya, maka menjadi tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Fakhrul Anwar berkata, setakat pengetahuannya, terdapat percanggahan jelas antara kenyataan Speaker dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, khususnya berhubung implikasi pelucutan keahlian parti terhadap kedudukan sebagai ADUN.

Beliau menegaskan, berdasarkan tafsiran undang-undang negeri, beliau masih merupakan ADUN yang sah meskipun kini berstatus ADUN Bebas.

“Status saya sebagai wakil rakyat tidak gugur begitu sahaja. Saya masih berperanan menyampaikan aduan dan permasalahan rakyat Bintong kepada agensi berkaitan,” tegasnya.

Menurut beliau, rakyat juga tidak perlu gusar kerana Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, turut membantu memastikan isu rakyat terus dibela dan diselesaikan.

Semalam, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dalam sidang media di Kompleks Seri Putra mengumumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN selepas keahlian Fakhrul Anwar, ADUN Chuping Saad Seman dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dalam PAS terhenti serta-merta.

Beliau merujuk Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis sebagai asas pengumuman itu, selain mencadangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan demi kestabilan politik negeri, walaupun tempoh penggal DUN telah melebihi tiga tahun bermula 18 Disember lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Fakhrul Anwar mengesahkan beliau akan mengemukakan rayuan kepada PAS, namun memilih untuk menangguhkannya buat sementara waktu memandangkan suasana politik yang masih tegang susulan peletakan jawatan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Setiap ahli yang dikenakan tindakan disiplin berhak membuat rayuan dalam tempoh 30 hari. Saya akan pastikan rayuan dikemukakan sebelum tamat tempoh tetapi bukan ketika keadaan masih ‘panas’,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya tempoh rayuan tamat, mana-mana bekas ahli PAS masih boleh memohon menyertai semula parti secara rasmi dengan mengemukakan alasan dan membuktikan kesetiaan kepada parti.

Mesyuarat PAS Pusat kelmarin memutuskan untuk melucutkan keahlian Fakhrul Anwar serta dua lagi ADUN berkenaan. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Untuk rekod, Fakhrul Anwar pernah dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri Perlis pada tahun pertama pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Pada PRU15, beliau mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang kerusi dan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man, dengan majoriti 4,329 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Isu pelucutan keahlian parti yang membawa kepada pengisytiharan kekosongan kerusi DUN kini berpotensi menjadi ujian besar terhadap tafsiran undang-undang negeri dan prinsip demokrasi berperlembagaan. Sama ada pengumuman Speaker itu muktamad atau boleh dicabar secara sah bakal ditentukan oleh hujah perundangan bukan tekanan politik.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)