Wakil Rakyat PAS Membaca Khutbah: MUIS Perlu Bersikap Adil dan Tegas

Melaka Digest
By -
0


Amalan wakil rakyat membaca khutbah di mimbar masjid bukan sekadar isu keagamaan, sebaliknya mempunyai implikasi besar dari sudut etika, keadilan institusi dan kematangan demokrasi. Dalam konteks politik moden, kelebihan ini dengan mudah bertukar menjadi kempen politik secara tidak langsung, tersusun dan berpanjangan.

Bayangkan seorang wakil rakyat berdiri di mimbar masjid sepanjang satu penggal, membaca khutbah, ada kalanya tanpa teks rasmi sambil menyelitkan naratif yang membina imej diri sebagai tokoh paling layak, paling berautoriti dan paling “sempurna” untuk memimpin.

Tanpa sedar, ia membentuk persepsi awam secara halus, “Hebatnya dia, boleh baca khutbah, boleh jadi imam, orang lain tidak.” Inilah doktrin senyap yang berfungsi sebagai kempen berterusan, menggunakan ruang ibadah sebagai pentas legitimasi politik.

Contoh paling jelas dapat dilihat dalam kes Aliakbar Gulasan. Selepas memenangi pilihan raya, beliau terus naik ke mimbar masjid dan membaca khutbah atas kapasiti sebagai wakil rakyat. Tindakan ini menimbulkan persoalan besar tentang pemisahan peranan politik dan institusi agama, lebih-lebih lagi apabila rekod kempen PAS sendiri sarat dengan serangan keras terhadap pihak lawan?

Ketika berkempen di Karambunai, jentera dan penceramah PAS dikerahkan dari seluruh negara, dengan pelbagai naratif politik yang dibawa . Namun, sebaik sahaja berada di mimbar, seruan “perpaduan” dan “kembali bertaut” dilaungkan seolah-olah luka politik yang dicipta sebelum ini tidak pernah berlaku.

Lebih membimbangkan, perjalanan politik Aliakbar sendiri mencerminkan percanggahan prinsip yang ketara. Sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau menerima lantikan sebagai ADUN lantikan. Ketika kempen, beliau menentang GRS. Namun selepas pilihan raya, beliau bersetuju menyertai kerajaan negeri, walaupun Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan secara rasmi bahawa Aliakbar akan berada di blok pembangkang. Keputusan tersebut tetap diabaikan oleh pimpinan PAS pusat, khususnya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Persoalan yang timbul adalah jelas dan wajar, adakah semua keputusan ini digerakkan oleh prinsip, atau oleh kepentingan jawatan dan kedudukan?

Orang politik bila di atas mimbar tidak boleh dipercayai sepenuhnya
 
Adakah keterlibatan Aliakbar dalam struktur MUIS, serta harapan untuk kekal atau dilantik ke jawatan lain termasuk GLC negeri menjadi faktor utama?

Tambahan pula, beliau dikatakan sedang memegang jawatan Pengerusi anak syarikat milik Kerajaan PAS Terengganu dan ini menjadikan isu konflik kepentingan semakin ketara.

Dalam keadaan ini, Majlis Ugama Islam Sabah tidak boleh berdiam diri. Institusi agama mesti kekal adil, bebas dan tidak menjadi alat legitimasi politik mana-mana individu atau parti.

Masjid dan mimbar khutbah adalah ruang suci untuk penyatuan ummah dan bukan medan kempen terselindung atau pentas membina imej politik peribadi.

Akhirnya, satu soalan asas perlu dijawab dengan jujur, Aliakbar Gulasan sebenarnya calon PAS atau Perikatan Nasional?

Dan lebih penting, di manakah garis pemisah antara amanah agama dan kepentingan politik? Jika institusi agama gagal menegakkan keadilan dan ketegasan, kepercayaan rakyatlah yang akan menjadi korban.
 
Perlu diingat, selama sepenggal yang lalu sebelum PRU DU Sabah, Aliakbar ketika menjadi wakil rakyat lantikan telah pun sepenggal membaca khutbah di serata masjid sekitar Karambunai bagi membina imej beliau secara senyap dan kali ini sekali lagi beliau ulangi perkara yang sama. 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)