ADUN Karamunting Contoh Terbaik Tolak UEC?

Melaka Digest
By -
0

ADUN Karamunting daripada Parti Warisan, Wong Tshun Khee, secara tidak langsung telah memperlihatkan realiti sebenar isu pengiktirafan UEC apabila beliau beberapa kali tersilap melafazkan teks sumpah dalam bahasa Melayu semasa upacara angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri Sabah.



Kesilapan tersebut berlaku dalam majlis rasmi yang melibatkan 78 ADUN termasuk enam ADUN lantikan, sehingga memaksa Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya membetulkan bacaan bagi memastikan sumpah dilafazkan mengikut tatacara yang sah. Dalam sebuah institusi perundangan negeri, insiden ini bukan sekadar kecuaian teknikal tetapi mencerminkan keupayaan asas seorang wakil rakyat terhadap bahasa kebangsaan.


Reaksi masyarakat di media sosial hadir dalam nada sinis namun berasas, apabila timbul persoalan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan keutamaan identiti nasional. Sindiran netizen mungkin keras tetapi ia mencerminkan kebimbangan awam yang semakin meluas terhadap kecenderungan sebahagian pemimpin yang dilihat longgar dalam soal bahasa, namun lantang menuntut pengiktirafan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kerangka kebangsaan.

Dalam konteks inilah isu UEC perlu dilihat dan dinoktahkan segera. Hakikatnya, pengiktirafan UEC bukan isu baharu, bukan juga perkara kabur yang memerlukan rundingan berpanjangan.

Dari sudut perundangan, kedudukannya sudah jelas dan konsisten sejak sekian lama. UEC bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, tidak selari dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996.

Justeru, persoalan sebenar bukan sama ada UEC “boleh dibincangkan” tetapi mengapa ia terus diangkat sebagai agenda politik walaupun bercanggah dengan asas perlembagaan negara.

Lebih 50 tahun sejak desakan pengiktirafan UEC bermula pada 1975, tuntutan ini tidak pernah dibawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman. Ketiadaan langkah undang-undang ini bukan kebetulan, sebaliknya mencerminkan kesedaran bahawa keputusan mahkamah berkemungkinan menutup terus ruang legitimasi UEC. Jika itu berlaku, keyakinan ibu bapa terhadap sijil tersebut akan terhakis dan sistem pendidikan persendirian itu akan kehilangan daya tarikannya.

Sebab itulah strategi yang diguna pakai kekal sama dari dahulu hingga kini, iaitu desakan politik secara berulang, rundingan tertutup dan senyap apabila tidak berhasil. Corak ini lazimnya muncul menjelang pilihan raya, terutama ketika kerajaan atau parti yang cuba menjadi ‘hero isu’ berada dalam keadaan sokongan rakyat yang lemah.

Sejarah tuntutan pendidikan dan politik negara menunjukkan pendekatan ini telah lama dimanfaatkan sebagai alat tawar-menawar, bukan penyelesaian dasar.

Lebih membingungkan apabila masih wujud pemimpin politik yang menyatakan isu UEC boleh dirunding, sedangkan asasnya jelas tidak memenuhi ciri sistem pendidikan kebangsaan. Bahasa pengantar UEC bukan bahasa Melayu, kurikulumnya bukan kurikulum kebangsaan, peperiksaannya bukan peperiksaan nasional dan tenaga pengajarnya tidak melalui latihan sistem pendidikan guru kebangsaan. Semua ini menjadikan tuntutan kesetaraan sebagai satu ilusi yang disengajakan.

Perbandingan dengan negara serantau dan negara asal budaya UEC sendiri turut mendedahkan hakikat yang tidak dapat dinafikan. Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam malah China tidak mengiktiraf UEC sebagai setara dengan sistem pendidikan kebangsaan mereka. Penerimaan pelajar UEC oleh universiti luar negara hanyalah atas kapasiti pelajar antarabangsa yang membayar yuran, bukan pengiktirafan terhadap kurikulum atau dasar pendidikan.

Dalam kerangka ini, insiden melibatkan ADUN Karamunting bukan sekadar episod kecil dalam upacara rasmi, sebaliknya simbol kepada percanggahan yang cuba dinormalisasikan.

Bahasa kebangsaan bukan formaliti upacara dan pendidikan kebangsaan bukan bahan rundingan politik. Jika keabsahan perlembagaan terus dipinggirkan demi agenda jangka pendek, maka persoalan sebenar bukan lagi tentang UEC, tetapi tentang arah dan asas negara ini sendiri.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)