Isu pengiktirafan UEC perlu dilihat secara jujur, berlandaskan fakta perundangan dan kerangka perlembagaan negara bukan didorong oleh sentimen atau tekanan politik. Berdasarkan penelitian yang konsisten dan perbincangan berulang kali dalam pelbagai forum, jelas bahawa UEC bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta tidak selari dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Percanggahan ini bukan perkara baharu, malah telah lama dibahaskan sejak tuntutan pengiktirafan UEC mula digerakkan sekitar tahun 1975.
Hakikat bahawa desakan pengiktirafan UEC tidak pernah dibawa ke semakan kehakiman sepanjang lebih 50 tahun adalah petunjuk penting. Jika benar UEC diyakini memenuhi kehendak perlembagaan dan undang-undang pendidikan negara, sepatutnya isu ini telah lama diuji di mahkamah.
Ramai peguam berkelayakan boleh menasihati kumpulan pendesak untuk mengambil laluan perundangan, namun itu tidak pernah dilakukan. Ketiadaan tindakan undang-undang ini menimbulkan persoalan serius tentang keyakinan sebenar mereka terhadap kekuatan perundangan tuntutan tersebut.
Sebaliknya, strategi yang digunakan sejak sekian lama lebih bersifat tekanan politik berulang iaitu mendesak, berunding, kemudian senyap dengan harapan tuntutan ini diluluskan ketika kerajaan berada dalam keadaan sokongan rakyat yang lemah. Corak ini dapat dilihat berulang kali, khususnya menjelang pilihan raya termasuk episod tuntutan Suqiu pada 1999 dan tekanan hebat sekitar PRU 2018. Pola yang sama kembali muncul hari ini, menandakan isu ini terus dieksploitasi mengikut kitaran politik, bukan melalui saluran institusi yang sah.
Lebih membimbangkan apabila ada pemimpin politik yang masih menyatakan isu UEC “boleh dibincang” atau “boleh dirunding”, sedangkan asasnya bercanggah dengan keluhuran perlembagaan.
Bahasa pengantar utama UEC bukan bahasa Melayu, kurikulumnya bukan Kurikulum Kebangsaan, peperiksaannya bukan peperiksaan kebangsaan dan tenaga pengajarnya pula bukan daripada sistem latihan Institut Pendidikan Guru Malaysia. Ini bukan perbezaan kecil yang boleh diselaraskan melalui rundingan politik semata-mata, tetapi perbezaan asas yang menyentuh teras sistem pendidikan negara.
Perbandingan dengan negara-negara jiran dan serantau turut memperkukuhkan hujah ini. Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam, malah China sendiri tidak pernah mengiktiraf UEC sebagai setara dengan kurikulum kebangsaan negara masing-masing.
Tiada sekolah persendirian di negara-negara tersebut yang diberikan kedudukan setaraf kurikulum nasional mereka melalui UEC. Apa yang berlaku hanyalah universiti-universiti di negara berkenaan menerima pemegang sijil UEC sebagai pelajar antarabangsa, satu keputusan komersial untuk menjana pendapatan melalui yuran, bukan pengiktirafan terhadap UEC sebagai sistem pendidikan kebangsaan.
Jadi, isu UEC bukan soal rundingan politik atau kompromi jangka pendek tetapi soal prinsip perlembagaan, kedaulatan bahasa kebangsaan dan integriti sistem pendidikan negara. Selagi asas-asas ini tidak dipenuhi maka sebarang usaha mengiktiraf UEC hanya akan mencetuskan ketidakkonsistenan dasar dan melemahkan kerangka perundangan yang menjadi tunjang negara.
