BERSATU Berpecah Di Melaka

Melaka Digest
By -
0

Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Melaka semakin parah apabila pemecatan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris telah mencetuskan gelombang perpecahan yang sukar disembunyikan.


Tindakan drastik itu dikatakan telah membelah dua kem utama dalam Bersatu Melaka, satu kumpulan menyokong Ali Pasir, manakala satu lagi kekal setia kepada Mohd Azrudin. Situasi ini bukan sahaja menggugat kestabilan dalaman Bersatu, malah turut memberi kesan kepada jentera Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Menurut sumber dalaman, pengaruh Wan Saiful Wan Jan dikatakan sangat kuat di Melaka dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik bahagian-bahagian tertentu. Dalam masa yang sama, Ali Pasir mendapat sokongan rapat daripada Mas Ermi Yatie, menjadikan pertembungan dua kem ini semakin panas di peringkat akar umbi.

Lebih memburukkan keadaan, sumber dari Bilik Gerakan Melaka memaklumkan bahawa kemungkinan besar PAS akan mengambil langkah berani dengan meletakkan calon di kawasan DUN Hang Tuah Jaya bagi mengelakkan kehilangan sokongan penyokong PN akibat perpecahan dalaman Bersatu.

Langkah itu jika benar, bakal menjadi indikator jelas bahawa kerjasama antara parti dalam PN sedang berdepan ujian besar. Ia juga memberi isyarat bahawa keutuhan gabungan itu di Melaka semakin longgar terutama apabila perebutan pengaruh dan kepimpinan dalaman mula menular.

Penganalisis politik melihat krisis ini sebagai amaran awal bahawa Bersatu perlu segera menyatukan saf kepimpinannya sebelum kemerosotan kepercayaan ahli dan penyokong menjadi lebih parah. Jika tidak ditangani segera, perpecahan ini bukan sahaja melemahkan Bersatu Melaka, tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada prestasi PN di peringkat negeri dan nasional.

Dalam politik, perpecahan dalaman sering menjadi permulaan kejatuhan. Persoalannya kini, mampukah Bersatu Melaka kembali bersama? Atau inikah tanda-tanda awal retaknya PN di negeri Hang Tuah itu?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)