Tular di laman media sosial Facebook milik PAS Negeri Melaka, apabila Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berkongsi hantaran tentang aktiviti “konten politik” selepas menunaikan solat Jumaat. Dalam catatannya, beliau menulis:
“...selepas menunaikan Solat Jumaat petang tadi, saya berkesempatan menziarahi beberapa rumah sahabat-sahabat kita dalam kalangan masyarakat India di Taman Mesra Rim dan Taman Desa Rim, Jasin.”
Namun, hantaran tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat setempat khususnya masyarakat India di kawasan parlimen itu sendiri.
Portal MelakaDigest menerima beberapa rungutan daripada pembaca yang mempersoalkan mengapa YB PAS itu hanya menziarahi beberapa buah rumah sahaja, sedangkan jumlah penduduk berbangsa India di Parlimen Jasin melebihi 10,000 orang.
Berdasarkan data rasmi Department of Statistics Malaysia (DOSM) melalui platform Kawasanku (MyCensus 2020), jumlah keseluruhan penduduk Parlimen Jasin adalah 134,531 orang, manakala pecahan etnik India adalah 8.5% bersamaan 11,435 orang.
Rata-rata penduduk melihat lawatan tersebut sebagai sekadar konten untuk media sosial, bukan satu usaha menyeluruh yang menggambarkan tanggungjawab wakil rakyat terhadap semua kaum di kawasan itu.
Rakyat kini semakin celik politik. Mereka tidak lagi terpesona dengan gambar-gambar lawatan singkat atau posting berunsur retorik. Apa yang rakyat mahu ialah kehadiran wakil rakyat di lapangan bukan sekadar di lensa kamera.
“Rakyat tidak kenyang dengan ceramah,” ujar seorang penduduk tempatan ketika ditemui wartawan MelakaDigest.
“Kami mahu pemimpin yang turun ke bawah bukan hanya ketika ada kamera tetapi sepanjang masa ketika susah, ketika senang.”
Hakikatnya, mengurus rakyat tidak boleh dilakukan dari pentas ceramah semata-mata. Ia menuntut komitmen, masa dan empati.
Lawatan beberapa rumah bukan satu pencapaian ia hanyalah permulaan kecil yang belum cukup menggambarkan kesungguhan seorang pemimpin yang memegang amanah besar.
Rakyat kini sedang menilai bukan pada jumlah ‘like’ di Facebook, tetapi pada sejauh mana pemimpin benar-benar peduli terhadap semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Berbeza sungguh dengan wakil rakyat BN..” ujarnya lagi.
Rakyat kini sedang menilai bukan pada jumlah ‘like’ di Facebook, tetapi pada sejauh mana pemimpin benar-benar peduli terhadap semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Berbeza sungguh dengan wakil rakyat BN..” ujarnya lagi.
