PAS Melaka dikhabarkan mengalu-alukan kehadiran P. Waytha Moorty dan Ramasamy ke Melaka, bekas pemimpin kontroversi Hindraf yang suatu ketika dahulu menuduh kerajaan Malaysia menindas kaum India dan mengamalkan diskriminasi agama.
Kini individu yang pernah menuduh kerajaan Islam Malaysia melakukan “pembersihan etnik” itu diraikan pula oleh parti yang mengaku memperjuangkan Islam.
Ya, anda tidak tersilap baca, PAS kini meraikan Waytha Moorty.
Lebih menarik, mereka bakal mengadakan siri jelajah bersama beliau di seluruh Melaka?
Waytha bukan tokoh biasa. Beliau pernah membawa agenda perkauman ekstrem, malah menghantar petisyen ke United Kingdom menuduh Malaysia sebagai negara penindas kaum minoriti.
Tuduhan itu bukan saja memalukan imej negara di mata dunia, malah mengguris hati umat Islam yang menjadi majoriti di negara ini.
Namun, itulah orang yang kini dijulang di pentas PAS.
Inilah wajah sebenar politik PAS hari ini. Dulu, mereka label sesiapa yang tidak sealiran sebagai “anti-Islam”, “musuh Allah”, dan “penentang syariah”. Tapi hari ini, individu yang pernah menuduh kerajaan Islam menindas orang India pula dijemput ke pentas mereka, siap akan dijadikan bahan “ceramah perpaduan”.
Sumber bilik gerakan menyatakan bahawa PAS Melaka merancang siri jelajah bersama Waytha Moorty kononnya atas nama “perpaduan Agama”. Namun hakikatnya, ramai melihat langkah ini sebagai cubaan terdesak PAS mencari undi bukan Islam, setelah imej parti itu semakin buruk di kalangan pengundi bandar dan profesional.
Lebih malang, tindakan ini membuatkan penyokong akar umbi PAS sendiri mula mempersoalkan:
“Adakah parti ini masih berjuang kerana Islam atau kini berjuang kerana kerusi?”
Ironinya, parti yang satu ketika dahulu begitu lantang menentang “liberalisme” kini berpeluk mesra dengan bekas penentang dasar Islam.
PAS hari ini bukan lagi wajah perjuangan tetapi wajah pragmatis yang hilang pedoman moral.
Waytha Moorty dulu mendakwa kerajaan Islam menindas agama lain. Hari ini, PAS pula menindas logik akal penyokongnya sendiri.
Hari ini, mereka peluk bekas pemfitnah terhadap kerajaan Malaysia. Esok siapa pula?
Mungkin selepas ini, PAS akan kata “politik suci” itu boleh dikongsi asalkan ada peluang menang”.
Jika benar PAS Melaka mengatur jadual ceramah bagi Waytha dan Ramasamy maka tidak hairanlah ahli parlimen Jasin kalah di pemilihan AJK PAS Pusat baru-baru ini. Beliau tidak mendapat undi ‘solid’ dari perwakilan PAS Melaka sendiri.


