Menjawab isu gangguan bekalan elektrik sementara di Melaka dan ianya dijadikan modal murahan oleh bekas penasihat komunikasi Tun Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin. Tanpa rasa bersalah, beliau cuba mengaitkan insiden teknikal itu dengan penjualan syarikat penjana tenaga, Edra Energy, kepada pelabur China oleh 1MDB pada tahun 2015.
Persoalannya mudah, adakah logik gangguan elektrik pada tahun 2025 dikaitkan dengan penjualan aset pada tahun 2015, sedangkan penjana kuasa Melaka itu sendiri hanya mula beroperasi pada tahun 2022? Ketika Edra dijual, loji tersebut pun belum wujud. Tetapi seperti biasa, fitnah tetap jadi modal utama kelompok yang masih hidup dalam nostalgia politik lama.
Lebih tidak logik, Najib Razak sudah bukan Perdana Menteri sejak hampir lapan tahun lalu, namun setiap kali berlaku masalah, nama beliau juga yang disebut. Ini bukan analisis, ini dendam politik yang tak habis-habis.
Kena faham konteks sebenar. Edra asalnya bukan milik kerajaan pun. Ia milik Ananda Krishnan, kroni besar era Mahathir yang memang ketika itu sudah merancang menjual aset tenaga kepada pembeli luar, sama ada dari Arab Saudi atau Mesir.
Apabila 1MDB membeli syarikat tenaga itu (Tanjong Power dan beberapa IPP lain termasuk milik Genting), tujuannya jelas iaitu untuk menamatkan perjanjian IPP berat sebelah yang diwujudkan semasa pentadbiran Mahathir. Perjanjian itu menyebabkan Petronas dan TNB rugi lebih RM19 bilion setahun semata-mata kerana bayaran tarif tinggi kepada syarikat kroni.
Langkah Najib melalui 1MDB waktu itu memecahkan monopoli, menggabungkan aset tenaga supaya Malaysia tidak lagi dibebani perjanjian “sweetheart deal” yang hanya menguntungkan segelintir elit lama. Malah, laporan Maybank ketika itu menyebut “Sweetheart deals are over.”
Apabila 1MDB berdepan tekanan hutang tinggi, penjualan Edra kepada pelabur asing adalah langkah komersial yang sah dan strategik bukan skandal seperti yang cuba digambarkan. Aset dibeli menggunakan pinjaman, perjanjian berat sebelah dihapuskan dan akhirnya aset dijual semula bagi mengurangkan liabiliti nasional. Ia logik, telus dan memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Jadi, apa sebenarnya yang salah?
Kini, Malaysia mempunyai rizab tenaga tambahan sekitar 30%. Ini bermakna kehilangan satu loji janakuasa langsung tidak menjejaskan bekalan nasional. Gangguan yang berlaku baru-baru ini berpunca daripada sistem penghantaran (transmission) TNB dan bukan penjana tenaga.
Namun, Kadir Jasin yang juga orang terpaling setia dengan Mahathir memilih untuk menyebar naratif palsu, kononnya Malaysia telah “hilang penjana kuasa milik negara” akibat penjualan kepada China. Hakikatnya, Edra sejak awal bukan milik kerajaan, tetapi hasil penggabungan aset kroni yang akhirnya disusun semula untuk kepentingan rakyat.
Inilah masalah mereka yang masih hidup dalam bayang-bayang ‘Mahathirisme’. Bila fakta tak menyebelahi mereka, fitnah dijadikan talian hayat. Mereka lupa, zaman Mahathir dulu ‘blackout’ satu negara berhari-hari, rakyat merana tanpa elektrik. Tapi waktu itu tiada siapa berani bersuara.
Hari ini, walaupun hanya gangguan beberapa jam, mereka berpesta menyebar fitnah demi menutup legasi silam yang penuh cacat-cela.
Kadir Jasin bukan sekadar tersilap fakta, beliau sengaja menipu rakyat untuk membina naratif politik murahan. Dari isu Edra, TRX, hinggalah fitnah terhadap Najib dan semuanya berakar daripada dendam lama dan keinginan untuk kekal relevan dalam politik yang sudah meninggalkan mereka.
Zaman berubah. Rakyat semakin cerdik dan mereka yang masih menjaja fitnah lapuk ini hanya akan dikenang sebagai sisa politik Mahathirisme yang gagal menerima kenyataan.

