Dalam satu ceramah terbaharu yang tular, Annuar Musa dilaporkan menggunakan perumpamaan kisah anak Nabi Nuh yang enggan menaiki bahtera. Walaupun lokasi ceramah itu tidak dapat dipastikan, metafora yang digunakan segera mencetuskan tafsiran politik seolah-olah PAS digambarkan sebagai “bahtera penyelamat” manakala pihak yang enggan bersama dilihat bakal menerima padah.
Namun yang lebih mencuri perhatian ialah perubahan nada Annuar Musa sendiri iaitu kurang agresif, lebih berlapik dan nyata berbeza daripada gaya lantangnya sebelum ini ketika menyerang UMNO-Barisan Nasional.
Perubahan retorik ini memberi isyarat politik yang tidak boleh dipandang ringan. Annuar Musa dilihat membuka ruang kepada kerjasama UMNO–PAS menjelang PRU-16, seolah-olah menghulurkan isyarat perdamaian strategik.
Dalam masa yang sama, kenyataannya turut mencerminkan ketidaktenteraman yang semakin ketara dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya tekanan dalaman terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan berdepan desakan daripada ketua-ketua bahagian BERSATU agar berundur susulan isu kluster mahkamah.
Pergolakan ini bukan sekadar wacana tetapi mula diterjemahkan dalam keputusan politik di lapangan. Di Sabah, PAS secara terbuka menzahirkan pendirian yang bercanggah dengan keputusan pusat PN berhubung kedudukan Aliakbar Gulasan.
Ketika Muhyiddin memutuskan Aliakbar berada dalam blok pembangkang, PAS pula memilih untuk menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Perbezaan pendirian ini menampakkan jurang disiplin dan keselarasan dalam PN, satu realiti yang sukar disorokkan.
Hakikatnya, perumpamaan “bahtera Nabi Nuh” mungkin lebih mencerminkan kebimbangan daripada keyakinan. Ia menggambarkan usaha merangkul semula sekutu lama di saat pakatan sedia ada berdepan ujian kepercayaan dan kepimpinan.
Menjelang PRU-16, landskap politik menuntut kejelasan hala tuju, ketegasan kepimpinan dan kesatuan strategi, bukan sekadar metafora yang sarat simbolisme. Politik masa hadapan akan ditentukan bukan oleh siapa yang mendakwa memiliki bahtera tetapi oleh siapa yang mampu membina keyakinan rakyat melalui kestabilan, konsistensi dan integriti keputusan.
Nyata PAS mula rasa takut yang tidak dapat disembunyikan lagi. Kalah di sepanjang siri piliharaya kecil dan kalah teruk di Sabah. PAS mula melihat UMNO-BN semakin kuat dan perangai PAS mudah dikesan, tikam belakang kawan.
