Kenyataan Takiyuddin Hassan selaku Ketua Whip Perikatan Nasional berhubung insiden tiga penjenayah ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka dilihat tidak menyumbang secara konstruktif kepada kefahaman awam, apatah lagi membantu tugas pihak polis yang sedang menjalankan siasatan. Sebaliknya, kenyataan tersebut berpotensi mengelirukan serta membentuk persepsi awam yang songsang terhadap keseluruhan kes.
Petikan kenyataan beliau yang menyebut bahawa “kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga, memberi gambaran buruk tentang saksi atau menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan” menimbulkan persoalan besar dari sudut niat, konteks dan implikasi.
Frasa “sejarah peribadi dan keluarga” khususnya mengundang tafsiran kabur, apakah yang sebenarnya ingin dipertahankan dan daripada siapa maklumat itu perlu disembunyikan?
Persoalan utama yang gagal dijawab ialah sama ada orang awam berhak mengetahui identiti dan latar belakang individu yang tampil ke hadapan, termasuk wanita yang mendukung seorang kanak-kanak dalam naratif kes tersebut.
Pada peringkat awal, wanita berkenaan berjaya meraih simpati sebahagian masyarakat dengan gambaran seolah-olah beliau adalah isteri kepada salah seorang penjenayah. Namun, apabila fakta sebenar mula terdedah, simpati itu wajar dinilai semula berdasarkan kebenaran, bukan emosi semata-mata.
Adakah pendirian Takiyuddin dan Perikatan Nasional bahawa orang awam langsung tidak perlu mengetahui latar belakang keluarga yang terbukti mempunyai rekod jenayah?
Jika demikian, di manakah garis pemisah antara melindungi proses siasatan dan menutup maklumat penting yang relevan kepada kefahaman awam?
Hakikatnya, persoalan yang lebih wajar ditimbulkan ialah mengapa peguam dan individu terbabit sejak awal tidak berterus terang tentang identiti serta hubungan sebenar mereka dengan penjenayah. Ketelusan sejak awal bukan sahaja mengelakkan salah faham, malah menghindarkan manipulasi emosi awam yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap sistem keadilan.
Lebih membingungkan, Takiyuddin juga tidak menjelaskan rasional mengapa pihak polis perlu berdiam diri sekiranya individu yang terlibat termasuk wanita berkenaan dan bapa kepada kekasih salah seorang penjenayah dan mempunyai rekod jenayah yang sah dan relevan. Fakta sedemikian bukanlah gosip tetapi konteks penting dalam menilai kredibiliti serta keseluruhan naratif kes.
Menunggang isu keselamatan dan keadilan memerlukan kebijaksanaan serta tanggungjawab, bukan sekadar retorik politik. Dalam isu yang melibatkan nyawa, keselamatan awam dan integriti institusi penguatkuasaan, semua pihak khususnya pemimpin politik wajar berhati-hati, berfakta dan tidak menyondol setiap isu demi keuntungan persepsi jangka pendek.

