Jika suatu ketika dahulu pemerhati politik sering mengingatkan, “apabila Mahathir menggerakkan tangan kanan, perhatikan tangan kirinya,” kini pendekatannya dilihat semakin langsung dan tidak berselindung lagi. Sesiapa sahaja yang dilihat berpotensi menjadi penghalang akan diserang secara terbuka, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pendedahan Mahathir di hadapan Pemuda BERSATU Johor yang mempersoalkan hasrat Muhyiddin untuk kembali menjadi Perdana Menteri memperlihatkan perubahan nada yang ketara.
Beliau secara terbuka membangkitkan isu berkaitan ‘Muhyiddin dan duit’, satu langkah yang jelas bertujuan melemahkan kredibiliti pesaingnya. Serangan ini bukan sahaja bersifat peribadi, malah memberi isyarat jelas bahawa Mahathir tidak bertolak ansur terhadap sebarang cabaran kepimpinan termasuk dari Muhyiddin.
Menariknya, selepas pendedahan tersebut, Muhyiddin dan barisan kepimpinan utama BERSATU dilihat tidak hadir dalam ‘Konvensyen 153’, namun sebelum pendedahan tersebut, Muhyiddin hadir di dalam mesyuarat ‘Payung Melayu’. Situasi ini menguatkan persepsi bahawa wujud ketegangan dalaman serta percaturan semula dalam kalangan blok pembangkang.
Penganalisis politik turut berpandangan bahawa pembangkang sebenarnya gagal disatukan di bawah satu payung besar. Namun, dalam hampir setiap kelompok yang berasingan itu, nama Mahathir tetap wujud sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Strategi Mahathir amat jelas, beliau tidak menonjolkan BERSATU sebagai ‘kenderaan utama’, sebaliknya memanfaatkan NGO yang menggunakan namanya sebagai penasihat atau penaung kewangan. Struktur sebegini lebih mudah dikawal dan selari dengan sifat kepimpinannya yang sukar berada di posisi ‘makmum’.
Hubungan Mahathir dengan PAS pula dilihat tidak bermasalah. PAS cenderung mengambil sikap tidak berkonfrontasi, ini terbukti apabila Mahathir dilantik sebagai penasihat bagi negeri-negeri SG4 yang dikuasai PAS. Hubungan ini menimbulkan spekulasi bahawa faktor pembiayaan pilihan raya akan datang memainkan peranan penting dalam merapatkan kerjasama tersebut? Hakikatnya, PAS dikenali sebagai parti yang sangat kedekut dalam soal kewangan, kepimpinan mungkin mewah, namun akar umbi sering kesempitan.
Persaingan antara Mahathir dan Muhyiddin bukan sekadar soal individu tetapi mencerminkan krisis kepimpinan dan hala tuju pembangkang secara keseluruhan.
Malaysia tidak boleh dipertaruhkan kepada politik yang didorong oleh obsesi kuasa semata-mata. Negara memerlukan kepimpinan yang stabil, berwawasan dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan percaturan peribadi yang berulang-ulang.
Malaysia bukan bahan taruhan.
