Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia bertemakan “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan” bukan sekadar acara rutin politik sebaliknya lahir daripada satu kesedaran strategik yang semakin mendesak iaitu kedudukan UMNO-BN dalam Kerajaan Perpaduan sebagai tulang belakang yang mempengaruhi hala tuju serta kedudukan dalam kerajaan perpaduan.
Realiti ini tidak boleh dinafikan. Dalam struktur Kerajaan Perpaduan hari ini, UMNO-BN berfungsi sebagai pelengkap tetapi ada pihak yang cuba menidakkan kepentingan dan keberkesanan peranan UMNO-BN di dalam menentukan halatuju kerajaan ini.
Lebih membimbangkan, wujud isyarat jelas bahawa sebahagian komponen dalam Pakatan Harapan khususnya DAP mula bertindak dengan keyakinan berlebihan, bersandarkan hakikat bahawa kekuatan angka kerusi Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal stabil walaupun tanpa sokongan padu UMNO-BN.
Isu ketegangan antara UMNO-BN dan DAP bukan perkara baharu. Namun, apa yang dahulu sekadar “makan hati” kini mula berakar menjadi barah politik yang sukar dipulihkan. Terdapat kecenderungan jelas DAP memainkan peranan dominan seolah-olah ingin menolak UMNO-BN ke pinggir gelanggang dengan mesej tersirat bahawa UMNO-BN boleh diganti atau diketepikan tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan.
Keadaan ini bertambah parah apabila isu hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dijadikan bahan sindiran dan modal politik oleh segelintir pimpinan DAP. Tindakan ini bukan sahaja mengguris perasaan akar umbi UMNO-BN, malah menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu yang secara budaya dan nilai amat pantang menghina individu yang sedang ditimpa musibah, apatah lagi seorang bekas Perdana Menteri yang jasanya masih segar dalam ingatan rakyat.
Menyedari hakikat ini, Pemuda UMNO Malaysia mengambil langkah proaktif menganjurkan konvensyen khas, bukan untuk meluahkan emosi tetapi untuk mengira, menilai dan memahami “hakikat angka undi” secara rasional dan strategik.
Mungkin persoalan utama yang akan berlegar esok:
Adakah UMNO-BN masih relevan dan dihormati dalam Kerajaan Perpaduan?
Atau UMNO-BN sekadar penyumbang angka yang boleh diketepikan?
Perlukah UMNO-BN terus bertahan sehingga tamat penggal atau membuat keputusan drastik termasuk menarik diri daripada gabungan sedia ada?
Konvensyen ini juga membuka ruang perbincangan lebih jauh termasuk kemungkinan penjajaran semula politik menjelang PRU ke-16, berpaksikan realiti sokongan rakyat, bukan sentimen sementara.
Menurut analisis penganalisis politik tempatan, gabungan UMNO-BN dan PAS kekal sebagai mimpi ngeri terbesar Pakatan Harapan. Jika kedua-dua entiti ini bersatu, sokongan Melayu dan Bumiputera berpotensi melonjak sehingga meraih lebih 80 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam senario tersebut, Sabah dan Sarawak pula secara tradisinya akan menilai siapa yang muncul sebagai king maker sebenar. Sejarah membuktikan bahawa kedua-dua negeri itu lebih cenderung menyokong gabungan yang stabil, dominan dan berakar kukuh dan ini menjadikan penyatuan UMNO-BN dan PAS pilihan paling strategik dalam landskap politik nasional.
Tidak dapat dinafikan, kekecewaan akar umbi juga didorong oleh persepsi bahawa kerajaan hari ini lebih banyak beretorik berbanding menunaikan janji. Janji reformasi, kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi sering kedengaran, namun pelaksanaannya dilihat perlahan dan tidak menyeluruh, khususnya dalam isu yang dekat di hati orang Melayu dan Bumiputera.
Konvensyen Pemuda UMNO ini menandakan satu hakikat penting, UMNO sedang berada di persimpangan sejarah. Terus kekal sebagai rakan minor dalam Kerajaan Perpaduan atau kembali membina kekuatan melalui penyatuan strategik berpaksikan angka sokongan sebenar rakyat.
Apa jua keputusan yang bakal lahir esok, satu perkara jelas politik masa depan tidak lagi boleh dibina atas ilusi kuasa tetapi mesti berteraskan realiti angka, penerimaan rakyat dan maruah perjuangan dan di sinilah Pemuda UMNO sedang mengorak langkah, membaca hakikat sebenar medan politik Malaysia.
