Seorang pemimpin bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil mendesak Perikatan Nasional (PN) memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang disifatkan sebagai bercanggah oleh bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Bersatu Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak menyuarakan kebimbangan susulan laporan bahawa Muhyiddin, menerusi sepucuk surat telah mendakwa Bersatu dan PAS telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN. Namun beliau memaklumkan bahawa PAS kemudiannya menafikan pernah bersetuju dengan langkah tersebut.
Menurut Ahmad, percanggahan ini menimbulkan persoalan serius terhadap keikhlasan Muhyiddin dalam berunding dengan parti-parti komponen, khususnya PAS.
“Perkara ini menimbulkan tanda tanya mengenai kejujuran Tan Sri dalam perbincangan bersama parti komponen, terutamanya PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan hasil perbincangan dalaman antara parti komponen bukan sahaja mengelirukan malah boleh memberi gambaran negatif terhadap kepimpinan dan kestabilan PN.
Ahmad turut mengingatkan bahawa hubungan antara parti-parti dalam PN sepatutnya dibina atas asas keikhlasan, kejujuran dan saling menghormati dan bukannya kenyataan sepihak yang bercanggah dengan pendirian rakan gabungan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional agar tampil memberikan penjelasan secara terbuka bagi memastikan kesatuan, integriti dan kredibiliti PN sebagai sebuah entiti politik terus terpelihara.
Menurut pemerhati politik, sepatutnya PAS yang membuat penjelasan yang jujur.
