Skandal Rasuah, Isteri Orang: Laksamana TLDM Nafi Segala Tuduhan

Melaka Digest
By -
0

Nama Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPANAHAS) kini menjadi perhatian umum susulan dakwaan serius yang dilemparkan oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.


Tuduhan berkenaan melibatkan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta dakwaan salah laku peribadi, dakwaan yang pantas mencetuskan gelombang kontroversi terhadap institusi keselamatan negara. Baca pendedahan Chegu Bard di SINI.

Bagaimanapun, Datuk Sabri melalui wakil peguamnya tampil menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut.

Peguam beliau, Muhammad Firdaus Jumaluddin dalam satu sidang akhbar hari ini menegaskan bahawa dakwaan yang dibangkitkan disifatkan sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah serius. Menurutnya, tuduhan berkenaan bukan sahaja mencemarkan reputasi peribadi anak guamnya, malah berpotensi menjejaskan imej dan kredibiliti PUSPANAHAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.

“Sehingga ke hari ini, Datuk Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak berkuasa. Beliau juga tidak pernah didapati bersalah dalam mana-mana kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku,” tegas Muhammad Firdaus.

Beliau turut mengulas dakwaan kononnya terdapat ‘dokumen sulit’ atau kertas siasatan yang didedahkan oleh pihak tertentu. Menurutnya, kesahihan dan ketulenan dokumen berkenaan tidak pernah diiktiraf oleh Datuk Sabri.

“Sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terdedah kepada manipulasi tidak boleh dijadikan bukti sah bagi menyokong sebarang dakwaan salah laku,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Firdaus memaklumkan bahawa Datuk Sabri sedang mempertimbangkan semua hak beliau di bawah undang-undang, termasuk tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah. Pada masa yang sama, Datuk Sabri menegaskan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya siasatan rasmi dijalankan, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Semua soal jawab berkaitan isu ini hanya akan dijawab melalui saluran rasmi dan sah di sisi undang-undang. Datuk Sabri tidak akan melayan tuduhan tanpa identiti, spekulasi liar atau naratif sensasi,” jelasnya.

Peguam itu turut memberi amaran bahawa penyebaran dakwaan yang belum disahkan berpotensi membawa kepada ketidakadilan serius, merosakkan reputasi individu dan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan negara. Sehubungan itu, beliau menggesa Chegubard menghentikan penyebaran dakwaan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berunsur mencemarkan.

Untuk rekod, Chegubard sebelum ini mendakwa Datuk Sabri terlibat dalam kes rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menurutnya diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) pada Mei 2024.

Ketika ini, isu tersebut terus menjadi polemik terbuka mempertembungkan dakwaan awam dengan penafian tegas serta ancaman tindakan undang-undang. Dalam suasana politik dan keselamatan negara yang sensitif, perhatian kini tertumpu kepada satu persoalan utama, adakah dakwaan ini akan diuji melalui proses perundangan atau kekal sebagai perang persepsi di ruang awam?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)