Situasi politik di Melaka semakin mengundang persoalan apabila Mas Ermieyatie dilihat terus memberi gambaran seolah-olah kedudukannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka masih kukuh. Kenyataan beliau yang mendakwa hubungan dengan Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin berada dalam keadaan baik serta menerima sokongan penuh, dilihat bercanggah dengan realiti perkembangan politik semasa di negeri itu. Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan ahli BERSATU Melaka, malah mencetuskan persepsi bahawa harapan palsu sedang dibina untuk menutup hakikat sebenar.
Hakikatnya, Mas Ermieyatie sedar bahawa peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN Malaysia sepatutnya diikuti di peringkat negeri. Namun persoalan timbul apabila beliau memilih untuk tidak sehaluan dengan keputusan ketua tertinggi gabungan tersebut. Keengganan ini menimbulkan syak, kepada siapa sebenarnya kesetiaan politik Mas Ermieyatie, adakah kepada Presiden BERSATU atau kepada individu tertentu?
Perkembangan mutakhir PAS Melaka pula semakin memperkukuhkan isyarat bahawa landskap politik PN di negeri itu sedang berubah secara ketara. PAS Melaka kini dilihat bergerak aktif menggunakan ‘kenderaan politik’ baharu, iaitu Muafakat Nasional (MN). Pembukaan Pusat Khidmat Muafakat Nasional di Durian Tunggal baru-baru ini tanpa kehadiran Mas Ermieyatie, sudah cukup memberi gambaran jelas bahawa beliau semakin dipinggirkan daripada arus utama perancangan politik PAS dan pembangkang di Melaka.
Lebih penting, rakyat Melaka tidak seharusnya terkeliru dengan naratif bahawa Muafakat Nasional hanyalah sebuah NGO. Realitinya, majlis berkenaan turut disertai dengan aktiviti penerimaan borang keahlian PAS, sekali gus membuktikan bahawa MN sedang digunakan sebagai platform politik dan jentera kempen yang tersusun, bukan gerakan masyarakat sivil semata-mata.
Mas Ermieyatie dan rakyat Melaka perlu membaca isyarat ini secara rasional. Pembukaan pusat khidmat tersebut merupakan mesej politik yang jelas bahawa PAS Melaka semakin menjauh daripada Perikatan Nasional di peringkat negeri. Tidak keterlaluan jika wujud pandangan bahawa Muafakat Nasional kini dijadikan strategi baharu PAS untuk membuka laluan kerjasama dengan UMNO, sekaligus meninggalkan PN sebagai wadah lama yang tidak lagi relevan di Melaka.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada PN masih wujud di Melaka tetapi sejauh mana kepimpinan negeri berani berterus terang kepada ahli dan penyokong tentang hakikat sebenar perpecahan yang sedang berlaku.

