Kenyataan PAS Terengganu di Facebook kononnya menggambarkan UMNO sebagai “orang yang sudah hilang rumah, duduk di halaman orang” bukan sahaja bersifat angkuh malah mendedahkan kegagalan PAS memahami realiti sebenar demokrasi dan mandat rakyat.
Analogi ini bukan cerdik tetapi tidak logik kerana ia memperlekehkan ratusan ribu pengundi Terengganu yang memilih Barisan Nasional.
Sejak bila UMNO dan PAS berada di satu rumah? PAS tidak mewarisi Terengganu tidak memiliki geran kekal dan tidak berhak bercakap seolah-olah negeri ini hak mutlak mereka.
PAS mendabik dada dengan angka “0 kerusi UMNO” seolah-olah itu bukti rakyat Terengganu menolak UMNO secara total. Ini satu penipuan naratif. Hakikatnya, puluhan ribu rakyat Terengganu masih mengundi Barisan Nasional malah di beberapa kawasan, PAS menang dengan majoriti tipis yang jauh daripada gambaran “penolakan mutlak”.
Undi rakyat bukan angka kerusi semata-mata tetapi suara yang diterjemahkan melalui peti undi dan suara itu masih wujud walau PAS cuba memadamkannya dengan angkuh.
Lebih memalukan, PAS Terengganu sengaja menutup mata terhadap isu rasuah pengundi yang menghantui beberapa kerusi. Nama “Pak Cik Wabillahi” bukan cerita rekaan politik, ia menjadi persoalan yang belum terjawab sehingga hari ini. Individu yang dikaitkan dengan dakwaan pengagihan wang semasa pilihan raya didakwa menghilangkan diri dari kampung di Marang dan sehingga kini tiada penjelasan diberikan. Jika PAS benar-benar yakin dengan mandat suci rakyat, mengapa isu ini terus disenyapkan?
Analogi kononnya PAS memegang “kunci dan geran tanah” juga memperlihatkan bahaya mentaliti ‘walaun’ dan pemimpin dalam PAS. Dalam demokrasi, tiada parti memegang kunci selama-lamanya. Rakyat boleh menukar “tuan rumah” pada bila-bila masa.
Mandat 32 DUN dan 8 Parlimen bukan sijil hak milik kekal tetapi amanah sementara sahaja.
Kenyataan bahawa “pintu tidak pernah dikunci oleh PAS, cuma rakyat yang menukar mangganya” pula adalah retorik kosong yang cuba mengaburkan hakikat sebenar apabila hakikatnya PAS sendiri yang obses menutup pintu bukan UMNO.
Sejarah membuktikan PAS kerap bermain tarik tali, sekejap buka, sekejap tutup dan ianya bergantung kepada keperluan kuasa. Bila kuat, PAS mula angkuh. Bila terdesak, PAS berbicara tentang perpaduan.
Hakikat paling pahit yang PAS Terengganu cuba sembunyikan ialah UMNO tidak menumpang rumah PAS dan PAS tidak berhak menentukan siapa boleh bersuara dalam politik Terengganu. Selagi ada rakyat yang mengundi UMNO, selagi itulah UMNO wujud sebagai suara sah di Terengganu. Menafikan kewujudan itu bukan tanda kekuatan tetapi ketakutan terhadap keberadaan UMNO-BN di negeri itu.

