Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim (2022–2025), Shamsuk Iskandar dikecam teruk di status milik beliau termasuk di 'reel' facebook dan juga di akaun TikTok miliknya juga. Ini semua gara-gara beliau didakwa pada 3 Disember tahun lalu di mahkamah dengan empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
5 Disember pula, beliau didakwa dengan satu tuduhan rasuah berjumlah RM64,924 berkaitan perkara sama.
Bagi tuduhan pertama, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei, sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Ia dengan membantu syarikat yang Jiann Cheing mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta, YTL Majestic Hotel, No 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.
Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Jiann Cheing bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, pada 29 Januari 2024.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.
Bagi keempat-empat tuduhan itu, Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

