Bersatu Johor Lumpuh

Melaka Digest
By -
0


Seramai 11 Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) Johor hari ini mengumumkan perletakan jawatan beramai-ramai kerana kecewa dengan konflik dalaman yang melanda parti itu.

Jurucakap mereka, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, susulan keputusan berkenaan kepimpinan bahagian terbabit juga terbubar dan tidak lagi boleh menjalankan apa-apa kegiatan berkaitan parti.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, 11 ketua bahagian itu membabitkan Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Ledang, Pontian, Labis, Pengerang, Johor Bahru, Tanjung Piai, Sri Gading dan Pulai.
Jelasnya, pihaknya merasakan parti itu semakin rosak dan hancur akibat daripada krisis kepimpinan yang berlarutan tanpa ada penyelesaian tuntas hingga kini.

“Semua ketua bahagian terlibat pada asasnya masih sayangkan parti ini namun terpaksa membuat keputusan berani dan bermaruah demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air atau Abata.

“Sebelum mengambil keputusan ini, kami sudah beberapa kali membuat pertemuan untuk membincangkan hala tuju dan secara sebulat suara secara bersama-sama mengambil ketetapan hari ini.

“Dengan tindakan ini, apabila dua pertiga daripada ahli jawatankuasa bahagian terbabit yang turut mengambil keputusan sama, secara tidak langsung menyebabkan bahagiannya terbubar dan tidak boleh membuat keputusan mesyuarat,” katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di Simpang Renggam di sini hari ini.

Katanya, dijangka lebih banyak lagi ketua bahagian di Johor akan membuat keputusan serupa dalam masa terdekat dan keputusan itu diambil atas kesedaran tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, bekas Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang berkata, pada masa ini belum bercadang menyertai mana-mana parti lain walaupun Bersatu tidak lagi memberi ruang kepada mereka.

Ujarnya, jika ada penawaran daripada parti lain yang turut dalam radar perjuangan yang sama, mereka tidak akan menyertainya secara bersendirian namun melibatkan semua kumpulan bahagian terbabit.

“Walaupun sudah tidak lagi bersama Bersatu, kami akan tetap menjalankan aktiviti yang dilakukan selama ini melalui gerakan melalui badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Dikatakan Bersatu mempunyai 26 bahagian di Johor.


Sumber
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)