Selama lebih sebulan sebahagian pemimpin PAS gemar melaungkan keyakinan kononnya parti itu cukup kuat untuk berdiri sendiri. Konsep “solo run” dijaja sebagai simbol kekuatan jentera, sokongan akar umbi dan kesetiaan pengundi tegar. Namun melihat kepada keretakan hubungan dengan BERSATU dan untuk hadapi PRU16, retorik mula menyerlah. PAS dalam fasa memujuk BERSATU dengan pelbagai cara.
Kenyataan Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Samad seolah menamatkan spekulasi. PAS, katanya, tidak mungkin bertanding secara solo pada PRU16 dan tidak mempunyai sebarang niat untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN). Titik. Tiada lenggok bahasa politik. Tiada bunga-bunga “strategi jangka panjang”. Hakikatnya jelas, PAS memilih kekal berlindung di bawah payung gabungan.
Lebih menarik, pendirian ini cuba diperkemas dengan alasan mandat muktamar. Iskandar menegaskan keputusan itu selari dengan suara perwakilan yang mahu PAS terus bersama PN. Secara tersirat, mesejnya mudah difahami bukan soal keberanian atau prinsip berdikari tetapi soal formula kelangsungan kuasa.
Ke mana perginya keyakinan bahawa PAS mampu menyapu bersih kerusi dengan kekuatan sendiri? Jika benar PAS sehebat yang sering digembar-gemburkan, mengapa bayangan bertanding solo kini dianggap terlalu berisiko?
Realitinya, kemenangan pada PRU-15 bukan semata-mata hasil jenama PAS tetapi gabungan undi, jentera dan persefahaman dalam PN. Tanpa rakan sekutu, PAS berdepan risiko kehilangan kerusi marginal, pertembungan tiga penjuru yang memakan diri dan keletihan pengundi yang semakin kritikal.
Isham Jalil pun takut, tengok video dia memujuk
