Pemimpin Tertinggi Bersatu Ada Agenda Peribadi - Rahim Thamby Chik

Melaka Digest
By -
0
Bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mendakwa landasan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini telah tersasar daripada agenda asal memperkasakan agama, bangsa, dan tanah air.

Beliau berkata, tindakan pimpinan tertinggi yang mempunyai agenda peribadi serta kecenderungan bersikap terpilih dalam mengendalikan permasalahan ahli menjadi punca utama pembubaran jawatankuasa di lima bahagian BERSATU di negeri ini.

Menurut beliau, ketiadaan wawasan dan hala tuju masa hadapan yang jelas juga menyebabkan parti kini dilihat semakin rapuh.

"BERSATU kini hanya akan tinggal sebagai sebuah parti berorientasikan 'nostalgik' yang sedang menuju kerapuhan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Semalam, Bersatu Melaka mengumumkan lima daripada enam jawatankuasa bahagiannya iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah, dan Jasin dibubarkan berkuat kuasa serta-merta.

Pembubaran itu turut melibatkan seluruh jawatankuasa sayap parti termasuk Armada, Srikandi, dan Srikandi Muda di bahagian berkenaan.

Rentetan itu, Rahim turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ketua BPN Melaka, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengukuhan Parti, serta Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah.


Sumber
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)