Dalam kemelut antara Muhyiddin dan Hamzah hari ini jelas menunjukkan Hamzah Zainuddin tidak berada pada kedudukan setara untuk menandingi Muhyiddin Yassin, sama ada dari segi moral politik, struktur kuasa mahupun sokongan sebenar di akar umbi.
Hamzah bukan sekadar berdepan cabaran politik biasa, tetapi turut dibebani rekod peribadi dan persepsi integriti yang sukar dipadam.
Isu melibatkan anaknya yang didakwa di mahkamah atas sembilan pertuduhan berkaitan pengemukaan dokumen palsu serta pemilikan barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan telah lama menghantui naratif awam.
Walaupun prinsip undang-undang menegaskan setiap individu tidak bersalah sehingga dibuktikan tetapi dalam dunia politik, persepsi awal adalah segalanya dan persepsi ini jelas tidak memihak kepada Hamzah.
Malah ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara pada ketika itu mendedahkan wujud tekanan daripada Hamzah untuk diberikan “kuasa” memilih pegawai tertentu, satu pendedahan yang menimbulkan persoalan serius tentang campur tangan politik dalam institusi keselamatan.
Malah, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, turut secara terbuka mendedahkan bahawa Hamzah suka berbohong.
Kata Zahid, Hamzah berbohong tentang tawaran jawatan Setiausaha Agung UMNO pada tahun 2018 sebagai balasan sokongan politik. Menurut Zahid, tawaran tersebut tidak pernah wujud.
"Saya kenal dia dari zaman muda kuat membohong, malangnya dia menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen sekarang.
"Saya harap dia tidak membohonglah apabila berhujah di Parlimen kerana pengalaman saya dari muda sampai tua, bercucu ini tak habis-habis kerjanya membohong, cukuplah," katanya.
Pendedahan ini mengukuhkan persepsi bahawa Hamzah sanggup memanipulasi naratif demi kepentingan kuasa.
Dua episod besar ini, dakwaan campur tangan dan pendedahan pembohongan politik membentuk gambaran Hamzah adalah seorang pemimpin yang tamak kuasa dan tidak konsisten dengan kebenaran. Inilah beban yang Hamzah pikul apabila cuba meletakkan dirinya setara dengan Muhyiddin.
Sebaliknya, walaupun Muhyiddin turut terpalit dengan isu menantunya yang dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kes Jana Wibawa, kekuatan Muhyiddin terletak pada satu perkara yang Hamzah gagal miliki iaitu parti itu sendiri. Muhyiddin kekal sebagai Presiden BERSATU, mengawal struktur, disiplin dan legitimasi organisasi.
Pemerhati politik berpendapat, jika Hamzah benar-benar mahu berada pada kedudukan setara sebagai presiden parti, satu-satunya jalan realistik ialah menubuhkan parti politik baharu.
Dari sudut angka, realiti juga tidak menyebelahi Hamzah. Bersamanya kini dianggarkan sekitar 17 Ahli Parlimen dan ADUN. Walaupun kem Hamzah mendakwa sokongan lebih 100 Ketua Bahagian, fakta di lapangan mendedahkan tidak sampai 10 bahagian yang benar-benar ‘dibubarkan’ atau keluar secara beramai-ramai. Jurang antara dakwaan dan realiti ini memperlihatkan kelemahan pengaruh sebenar.
Terkini, tindakan Mas Ermieyati Masudin meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah juga tidak mencetuskan gelombang besar. Hanya beberapa ketua cawangan mengikut jejak langkahnya, jauh daripada gambaran “arus besar” yang cuba dipromosikan.
Sumber dalaman parti mengesahkan bahawa Hamzah tidak memiliki kekuatan kukuh di peringkat akar umbi. Sokongan yang ada lebih bersifat elit dan terhad, bukannya gerakan massa yang mampu menggoncang struktur parti.
