Ahli Bersatu 700 Ribu Dipertikai

Melaka Digest
By -
0


Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin mempertikaikan dakwaan bahawa kira-kira 700,000 ahli parti merupakan penyokong kuat presiden seperti yang disebut oleh Azmin Ali.

Beliau berkata angka tersebut tidak wajar digunakan secara mudah kerana realiti kekuatan sokongan di peringkat bahagian mungkin jauh lebih kecil.

Mengulas lanjut, jika angka 700,000 ahli itu dibahagikan kepada 202 bahagian, jumlah purata hanyalah sekitar 3,456 ahli bagi setiap bahagian. Jika diambil kira hanya kira-kira 10 peratus ahli yang benar-benar aktif, jumlah penyokong aktif di setiap bahagian dianggarkan sekitar 345 orang sahaja.

Chegubard turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gambaran yang tidak menggambarkan keadaan sebenar parti.

“Angka ini jangan main petik dan tipu diri sendiri. Bila kita lemah, kita kena akui dan tangani masalah, bukan lena dibuai mimpi,” katanya di facebook beliau, semalam.

Dalam masa sama, beliau mendakwa protes dalaman parti sehingga menyebabkan ramai ahli keluar bukan semata-mata berkait dengan Hamzah Zainudin, tetapi berpunca daripada cara parti itu dikendalikan.

Menurutnya, terdapat budaya layanan berbeza dalam parti di mana individu yang mempunyai sumber kewangan atau pandai “menjilat” kepimpinan diberi kelebihan berbanding mereka yang bercakap secara terus terang.

Chegubard juga mempersoalkan beberapa pelantikan kepimpinan bahagian yang diumumkan baru-baru ini, termasuk dakwaan bahawa ramai individu yang baru menyertai parti atau bekas pemimpin parti lain diberikan jawatan.

Beliau turut membangkitkan isu melibatkan seorang ahli di Port Dickson yang didakwa namanya digugurkan daripada senarai keahlian walaupun pernah menghadiri mesyuarat bahagian dan perhimpunan agung parti.

Selain itu, Chegubard mendakwa parti berkenaan sudah lama gagal memimpin isu rakyat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

“Rakyat menyampah kerana parti gagal juarai isu rakyat, malah terlalu berlembut dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika budaya kepimpinan yang disifatkannya sebagai “khayal dengan pujian” itu berterusan, ia boleh menjejaskan kedudukan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)