Ala Mafia: Wajah Sebenar BERSATU - Rahim Tamby Chik

Melaka Digest
By -
0

Selepas lapan tahun menyertai BERSATU, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik hari ini menyifatkan 'wajah sebenar' pentadbiran parti itu yang 'ala mafia'.


Beliau mendakwa, budaya pentadbiran dalam parti berkenaan tidak lagi berlandaskan prinsip perjuangan asal, sebaliknya dicorakkan dengan pendekatan pilih kasih dan berkepentingan.

Katanya, sepanjang tempoh pembabitannya dalam parti itu, beliau menyaksikan sendiri bagaimana keputusan tertentu dibuat bukan berasaskan merit, sebaliknya dipengaruhi faktor tertentu yang didakwa menjejaskan integriti organisasi.

"Pentadbiran parti dilihat semakin cenderung kepada pendekatan `ala mafia', sentiasa pilih bulu dan tidak lagi mencerminkan ketelusan yang diharapkan ahli di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya, hari ini.

Rahim yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, berkata keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada keyakinan ahli serta penyokong terhadap hala tuju parti berkenaan.

Beliau turut menyifatkan masa depan parti itu yang sebelum ini dilihat `putih' dan penuh harapan, kini bertukar `kelabu' berikutan pelbagai isu dalaman yang didakwa tidak ditangani secara tuntas.

Katanya, kepimpinan parti seharusnya kembali kepada asas perjuangan dengan memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan keadilan dalam setiap keputusan.

"Ahli mahukan kepemimpinan yang telus dan adil, bukannya budaya yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua BERSATU Alor Gajah sebelum ini mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandang dalam parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Turut berbuat demikian, semua kepemimpinan BERSATU di lima daripada enam bahagian di Melaka, termasuk pemimpin cawangan serta sayap parti di bahagian berkenaan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)