Golongan “Ustaz Sampul” Tidak Bayar Zakat, Cukai?

Melaka Digest
By -
0

foto hiasan

Dalam wacana masyarakat hari ini, muncul satu fenomena, kewujudan kelompok penceramah agama yang dikenali secara sinis sebagai “ustaz sampul”. Gelaran ini bukan muncul tanpa sebab tetapi lahir daripada persepsi bahawa sebahagian mereka menjadikan pentas ‘buka kitab’ sebagai sumber pendapatan lumayan tanpa ketelusan yang sepatutnya.


Secara kasarnya, kadar bayaran bagi sesi ceramah bagi penceramah biasa boleh mencecah sekitar RM300 bagi satu sesi. Dengan jadual harian yang lazim seperti Kuliah Subuh, Dhuha dan Maghri b makan jumlah itu boleh meningkat kepada RM900 sehari. Jika konsisten sepanjang bulan, angka pendapatan mencecah sekitar RM27,000 sebulan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Itu belum termasuk sumbangan tambahan melalui derma tunai atau platform digital seperti kod QR yang sering diedarkan selepas sesi ceramah.

Bagi penceramah yang lebih dikenali, jumlah bayaran tentunya lebih tinggi malah boleh mencecah puluhan ribu ringgit bagi satu penampilan. Namun persoalan utama bukan pada jumlah pendapatan semata-mata tetapi pada aspek akauntabiliti, sejauh mana pendapatan ini direkodkan, diisytiharkan dan seterusnya dikenakan kewajipan zakat serta cukai?

Dalam sistem semasa, pendapatan yang tidak direkodkan atau tidak dilaporkan melalui saluran rasmi seperti e-Filing berpotensi terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa. Jika benar wujud amalan sebegini, implikasinya bukan kecil. Ia bukan sahaja melibatkan kegagalan menunaikan tanggungjawab kepada negara melalui cukai, tetapi juga kepada golongan memerlukan melalui zakat pendapatan.

Ironinya, dalam masa yang sama, ada antara kelompok ini yang lantang menyuarakan keluhan tentang kenaikan kos sara hidup dan pengurangan subsidi. Retorik yang dibawa seolah-olah mereka turut sama menanggung beban rakyat marhaen, sedangkan persoalan asas tentang sumbangan mereka kepada sistem yang menyokong kebajikan rakyat masih kabur.

Lebih menarik, gaya hidup yang dipamerkan oleh segelintir mereka sering kali tidak selari dengan naratif kesederhanaan yang dibawa. Kenderaan mewah, pemilikan hartanah, serta gaya hidup eksklusif menjadi perbualan umum sehingga menimbulkan persoalan sama ada dakwah masih menjadi misi utama atau sudah bertukar menjadi industri yang menguntungkan tanpa kawalan.

Hakikatnya, isu ini bukan untuk menghukum semua penceramah agama secara pukul rata. Ramai yang menjalankan amanah dengan penuh integriti dan keikhlasan. Namun, kewujudan segelintir yang didakwa mengambil kesempatan tanpa ketelusan berpotensi mencemarkan keseluruhan institusi dakwah.
 
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)