Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) digesa segera menamakan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah Zainudin, susulan kedudukannya yang disifatkan tidak lagi sah dan berpotensi menjejaskan imej serta maruah gabungan itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa Hamzah tidak lagi layak memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas dipecat daripada Bersatu, sekali gus terkeluar daripada keanggotaan PN.
Menurut Muhyiddin, dalam amalan politik di negara-negara lain, seseorang yang telah kehilangan keahlian parti akan berundur secara beretika daripada jawatan strategik yang disandang. Namun, situasi itu tidak berlaku dalam kes Hamzah.
“Dari sudut keabsahan, beliau sudah tidak mempunyai locus standi. Maka kedudukannya boleh dipersoalkan dan secara prinsipnya, beliau tidak lagi layak berada di kerusi Ketua Pembangkang,” katanya.
Muhyiddin turut mendedahkan bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya sebelum ini. Mesyuarat berkenaan, katanya, mencapai kata sepakat bahawa jawatan Ketua Pembangkang perlu dikosongkan dan diisi oleh wakil Ahli Parlimen daripada PAS, selaku parti komponen yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam PN.
Bagaimanapun, Presiden Pas memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan berhubung calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan.
Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan Pas perlu segera memuktamadkan keputusan dan memaklumkan nama calon kepada Speaker Dewan Rakyat, bagi mengelakkan kekosongan kepimpinan pembangkang berlarutan.
“Jika perkara ini dibiarkan berpanjangan, ia akan memberi kesan negatif kepada imej Perikatan Nasional. Isu ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya lagi.
Beliau menambah, sebelum ini Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang atas pencalonan parti. Namun selepas kehilangan keahlian, kelayakan tersebut terbatal secara automatik.
Mengulas kenyataan bahawa Speaker Dewan Rakyat masih mengiktiraf Hamzah sebagai Ketua Pembangkang setakat ini, Muhyiddin menjelaskan keadaan itu berlaku kerana tiada pencalonan baharu dikemukakan secara rasmi.
“Jika beliau sedar dirinya tidak lagi mempunyai hak untuk berada di jawatan itu, sepatutnya beliau meletakkan jawatan dan memaklumkan kepada Speaker. Ini isu prinsip dan integriti,” tegasnya.
Menjawab dakwaan bahawa terdapat sokongan sebahagian Ahli Parlimen Bersatu untuk mengekalkan Hamzah, Muhyiddin menegaskan pendirian tersebut tidak mewakili keputusan rasmi parti.
“Ini bukan soal pandangan individu Ahli Parlimen tetapi keputusan dasar parti. Pelantikan Ketua Pembangkang adalah prerogatif parti, bukan undian Ahli Parlimen,” katanya.
Tegas beliau, demi kestabilan dan kredibiliti pembangkang, isu jawatan Ketua Pembangkang perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kompromi politik.
