Beberapa pemimpin Melayu DAP menyatakan mereka tidak bersetuju dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bersama aktivis Arun Doraisamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, semalam.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sesuai memandangkan Kulasegaran memegang jawatan sebagai timbalan menteri dalam kerajaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
“Kami terpanggil untuk menyatakan bahawa kami sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran YB Kulasegaran di mahkamah berjumpa dengan Arun Doraisamy sewaktu didakwa di Mahkamah, lebih-lebih lagi beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang timbalan menteri Kerajaan Madani.
“Tindakan tersebut telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara,” kata mereka.
Isu itu timbul selepas Kulasegaran dilihat hadir di mahkamah bagi memberi sokongan kepada Arun Doraisamy yang didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Kulasegaran menjelaskan bahawa beliau hanya singgah di mahkamah ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan sekadar bertemu Arun di sekitar kompleks mahkamah.
“Saya tidak hadir di bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” katanya.
