Mas Ermieyati Terima Surat Tunjuk Sebab

Melaka Digest
By -
0

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi BERSATU, Mas Ermieyati Samsudin disahkan menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti berhubung beberapa dakwaan yang dikaitkan dengan mereka.


Walaupun butiran penuh surat berkenaan tidak didedahkan, Ronald Kiandee memaklumkan beliau menerima dokumen tersebut pada 28 Februari lalu.

Menurutnya, tempoh untuk memberikan penjelasan terhadap surat itu akan berakhir pada hari berikutnya.

“6 Mac mungkin hari terakhir saya bercakap sebagai Naib Presiden kerana enam hari lalu saya menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti yang meminta saya memberikan penjelasan, dan tempohnya tamat esok,” katanya ketika berucap pada Majlis Moreh Perdana serta pelancaran Kempen Anti-Rasuah Negeri Sembilan.

Ronald berkata sama ada beliau memberikan jawapan atau tidak, beliau percaya tindakan tetap akan diambil terhadapnya. Malah beliau mendakwa langkah tersebut berkait rapat dengan pendiriannya menyokong Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menurutnya, antara punca beliau dikenakan tindakan ialah surat yang dihantar kepada Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan, bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen BERSATU terhadap Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut mengesahkan bahawa beliau menerima surat tunjuk sebab yang sama. Bagaimanapun, Ahli Parlimen itu memaklumkan bahawa beliau tidak bercadang untuk memberikan sebarang maklum balas buat masa ini.

“Esok adalah tarikh akhir untuk saya menjawab surat tersebut. Namun setakat ini saya tidak bercadang untuk membalasnya. Kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin BERSATU telah memecat Hamzah Zainudin daripada parti atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Selepas pemecatan Hamzah, beberapa pemimpin lain turut menerima nasib sama, termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri turut dipecat iaitu ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin, serta ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub.

Selain itu, sembilan Ketua Bahagian BERSATU turut dilaporkan dipecat setakat ini, termasuk ketua bahagian dari Larut, Libaran, Dungun, Selayang, Gopeng, Teluk Intan, Johor Bahru, Tangga Batu dan Tapah.

Turut dikenakan tindakan ialah Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norshahar, serta Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Perkembangan ini sekali lagi memperlihatkan ketegangan dalaman dalam BERSATU yang semakin memuncak, khususnya selepas perpecahan sokongan terhadap kepimpinan parti dan kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)