Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Mukhriz Mahathir memaklumkan keadaan kesihatan bapanya, Mahathir Mohamad, kini semakin baik dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
Menurut beliau, proses pemulihan bekas Perdana Menteri itu sememangnya mengambil masa dan perkembangan tersebut sudah dijangka oleh keluarga sejak awal.
“Tun M sekarang semakin baik, semakin pulih. Proses itu memang makan masa dan kita dah jangka perkara itu dari awal,” katanya.
Mukhriz berkata, Mahathir kini telah dibenarkan pulang ke rumah namun masih menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau juga optimis bapanya akan kembali aktif seperti biasa selepas melalui tempoh pemulihan yang mencukupi.
“Saya ingat dalam tempoh mungkin beberapa bulan nanti dia akan aktif macam dulu,” katanya lagi.
Januari lalu, Mahathir disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya pada 6 Januari.
