Pelantikan dan penajaan Ketua Bahagian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diumumkan baru-baru ini mencetuskan kritikan apabila didakwa melibatkan ramai bekas ahli Parti Keadilan Rakyat dan Parti Bangsa Malaysia.
Mantan Ketua Penerangan Bahagian Hulu Langat, Shafiq Halim mendakwa perkembangan tersebut menyebabkan parti itu kini dilihat seolah-olah menjadi “PKR 2.0”.
“Perlantikan-perlantikan ini jelas menunjukkan pengaruh Azmin Ali dalam menyusun individu-individu tertentu untuk memonopoli jawatan-jawatan penting dalam parti BERSATU, yang kini dilihat sebagai PKR 2.0, dikuasai oleh kelompok-kelompok yang dikenali sebagai kartel iatu pengikut Azmin Ali. Katanya kepada politiko.
Beliau turut mendakwa terdapat juga individu yang sebelum ini gagal dalam pemilihan parti tetapi kini diberikan pelantikan baharu.
Dalam masa sama, Shafiq mempersoalkan proses pelantikan tersebut yang disifatkannya sebagai tergesa-gesa dan tidak mematuhi prosedur parti.
Menurutnya, bagi bahagian yang dibubarkan, sepatutnya diadakan terlebih dahulu mesyuarat penubuhan jawatankuasa baharu sebelum watikah pelantikan Ketua Bahagian dikeluarkan.
“Proses ini dilihat terburu-buru dan dipercayai bertujuan menangkis naratif mengenai pembubaran kira-kira 60 bahagian parti,” katanya.
Beliau juga mendakwa perkembangan itu menunjukkan pengaruh Azmin Ali dalam menyusun individu tertentu bagi menguasai jawatan penting dalam parti.
Menurut Shafiq, situasi tersebut memberi gambaran bahawa parti itu kini dikuasai oleh kelompok tertentu yang digelar sebagai “kartel”, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa BERSATU sedang berubah wajah daripada identiti asalnya.
Baru-baru ini, Muhyiddin telah menyerahkan watikah pelantikan penaja bahagian-bahagian yang telah terbubar ekoran peletakan jawatan ketua-ketua dan AJK Bahagian dari seluruh negara sejak pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
