Cadangan membuka semula pintu “Rumah Bangsa” oleh Presiden Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjemput bekas ahli kembali ke dalam UMNO mencetuskan polemik baharu dalam landskap politik Melayu. Niat yang digambarkan sebagai usaha penyatuan itu segera mengundang pelbagai reaksi, daripada kritikan keras hinggalah kepada respons lebih berhati-hati daripada bekas pemimpin parti.
Antara yang paling lantang menyuarakan pandangan ialah bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil, yang mempersoalkan keikhlasan pelawaan tersebut. Menurutnya, konsep “Rumah Bangsa” yang diketengahkan kepimpinan UMNO hari ini masih berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan Malaysia, sekali gus tidak dapat dipisahkan daripada kerjasama politik dengan Democratic Action Party (DAP).
Bagi Isham, selagi UMNO terus berada dalam kerajaan bersama DAP, sukar untuk parti-parti Melayu lain menerima gagasan penyatuan yang ditawarkan itu.
“You can’t have it all nor have the cake and eat it too,” katanya, menyindir bahawa UMNO tidak boleh pada masa sama mahu penyatuan Melayu tetapi masih mempertahankan kerjasama dengan DAP dalam kerajaan.
Beliau turut mendakwa keadaan tersebut menjadi faktor mengapa UMNO kini berdepan cabaran besar menjelang pilihan raya akan datang. Menurutnya, parti itu dilihat semakin terdesak untuk mendapatkan semula sokongan yang semakin menipis.
Dalam nada yang lebih sinis, Isham berpendapat bahawa jika benar Presiden UMNO ikhlas mahu bekas ahli kembali, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah merendahkan ego politik.
Beliau mencadangkan agar Zahid sendiri menemui tokoh-tokoh yang pernah dipecat atau digantung oleh parti termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan serta memohon maaf atas tindakan terdahulu sebelum menjemput mereka kembali.
“Jika kamu yang memecat dan menggantung mereka dahulu, maka kamu juga perlu merendah diri untuk berjumpa mereka semula. Tidak boleh mengharapkan mereka datang menghadap apabila parti kini memerlukan mereka,” katanya.
Namun Isham turut menegaskan bahawa bagi dirinya sendiri, pendirian tersebut tidak akan berubah.
Beliau menegaskan bahawa selagi UMNO terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan, beliau tidak akan kembali menyertai parti itu malah menyindirnya sebagai “UMDAP”.
Berbeza dengan nada keras Isham, seorang lagi bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, mengambil pendekatan lebih berhati-hati. Dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap, beliau menyatakan penghargaan terhadap pelawaan Zahid tetapi menegaskan bahawa beliau masih selesa berada di luar arena politik buat masa ini.
“Bagi saya secara peribadi, saya menghargai dan menghormati ‘gesture’ Dato’ Seri Zahid. Tetapi saya agak selesa di luar politik pada ketika ini,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kembali pada masa hadapan, namun menegaskan bahawa ia bukan sesuatu yang dirancang dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun, terdapat pandangan bahawa kenyataan Isham cuba membina persepsi bahawa gagasan “Rumah Bangsa” sebenarnya tidak lebih daripada lanjutan kepada kerangka politik Kerajaan Madani.
Pemerhati politik melihat hujah tersebut sebagai mengabaikan realiti pembentukan kerajaan pasca pilihan raya, di mana gabungan parti-parti politik terbentuk melalui keperluan mencapai majoriti Parlimen bukan semestinya hasil perancangan awal.
Dalam konteks itu, hubungan UMNO dengan DAP sering digambarkan sebagai kerjasama politik pragmatik bagi membentuk kerajaan, bukannya penyatuan ideologi.
Sementara itu, kenyataan Shahril bahawa beliau “selesa di luar politik” juga menimbulkan persoalan dalam kalangan pengkritik, memandangkan penglibatan aktifnya dalam podcast Keluar Sekejap yang hampir keseluruhannya membincangkan isu politik semasa.
Bagi sesetengah pemerhati, situasi itu menimbulkan persoalan mudah, jika seseorang benar-benar meninggalkan politik, mengapa perbincangan hariannya masih berkisar tentang politik?
Apa yang jelas, Isham Jalil cuba sembunyikan dan tidak berkata benar tentang kenapa beliau dan beberapa bekas pemimpin UMNO lain dipecat dari UMNO.
“Beritahulah dunia, kenapa diri kita dipecat seolah UMNO sebuah parti yang tidak punyai perlembagaan” kata penganalisis politik.
Ada juga yang mengatakan, Isham Jalil sebelum masuk ke pejabat Najib Razak, beliau datang dari pejabat Muhyiddin?
Untuk rekod, sepanjang bersama UMNO, Isham dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan juga pernah dicalonkan di dalam PRU15 bagi kerusi parlimen Shah Alam dan tewas dan menjadi anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Semua yang beliau dapat amat jarang diperolehi oleh anggota parti yang jauh lebih setia.

