Setiap kali pilihan raya semakin hampir, ada satu babak yang seolah-olah wajib dipentaskan oleh sebahagian pemimpin PAS iaitu “pecah tabung”. Ia dipersembahkan sebagai tanda perjuangan kononnya parti serba kekurangan, tidak berharta dan terpaksa bergantung kepada derma rakyat untuk menghadapi medan demokrasi.
Bagi penyokong tegar, adegan ini mungkin dianggap lambang pengorbanan. Namun bagi rakyat yang semakin celik politik, ia mula dilihat sebagai drama bermusim yang berulang saban kali menjelang pilihan raya.
Zaman sudah berubah. Rakyat hari ini bukan lagi pengundi yang hanya mendengar ceramah di pentas malam minggu. Mereka hidup dengan telefon pintar di tangan, maklumat di hujung jari dan akses tanpa sempadan kepada berita, video serta rekod prestasi pemimpin.
Mereka mampu menilai sendiri sama ada sesuatu aksi itu ikhlas atau sekadar gimik politik.
Apabila tabung dipecahkan di hadapan kamera, rakyat juga melihat realiti lain yang lebih sukar disembunyikan.
Di hadapan penyokong, ada yang membawa imej zuhud dan serba sederhana. Namun rakyat juga melihat sebahagian pemimpin menikmati gaji dan elaun yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, malah ada yang menghampiri angka enam digit apabila dicampur pelbagai kemudahan.
Rakyat melihat rumah besar, kenderaan mewah, gaya hidup selesa dan kedudukan keluarga yang terjamin.
Mereka juga melihat bagaimana ada anak-anak atau kroni tertentu yang dikatakan mendapat tempat dalam struktur kerajaan negeri atau agensi berkaitan.
Lalu timbul persoalan yang semakin kuat dibincangkan rakyat, jika benar susah, siapa sebenarnya yang susah? Parti atau rakyat?
Soalan paling penting bukan berapa tabung dipecahkan tetapi apa hasil selepas kemenangan?
Ramai anak muda di negeri-negeri yang ditadbir PAS masih terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan dan pendapatan lebih baik. Peluang ekonomi terhad, pelaburan perlahan dan pembangunan tidak bergerak sepantas yang diharapkan.
Bagi keluarga biasa, kos sara hidup tetap menekan. Bagi graduan muda, pekerjaan berkualiti masih menjadi cabaran. Bagi peniaga kecil, bantuan yang benar-benar mengubah hidup masih belum dirasai secara menyeluruh.
Jika itu realitinya, maka drama pecah tabung tidak lagi cukup untuk menutup kelemahan ketara mengenai prestasi pentadbiran.
Generasi baharu tidak mudah terpesona dengan cara politik lama. Mereka mahu data, peluang kerja, perancangan ekonomi, perumahan mampu milik, pendidikan berkualiti dan masa depan yang meyakinkan.
Mereka tidak mengundi kerana siapa paling pandai berlakon miskin. Mereka menilai siapa paling mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Politik nostalgia semakin pudar. Politik prestasi semakin penting.

