Di sebalik pentadbiran kerajaan Perpaduan yang tampak stabil di Putrajaya, analisis strategik PRU16 parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya baru-baru ini mendedahkan naratif yang jauh berbeza.
Dokumen bertajuk "Analisa Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier" yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa PKR kini sebuah parti yang sedang dalam mod berjaga-jaga, bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi-kerusi utama kini semakin terhakis.
Analisis itu dibentangkan di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Petaling Jaya pada 2 Mei lalu dan dihadiri hampir 900 pemimpin parti di seluruh negara. Fokus kajian PKR adalah terhadap sejumlah 66 kerusi parlimen pada PRU akan datang.
Daripada jumlah itu, PKR mengklasifikasikan kerusi-kerusi tersebut kepada empat kategori (Tier) bagi memetakan kekuatan dan risiko mereka menjelang PRU16.
PKR sasar 66 kerusi pada PRU16?
Analisis ini membahagikan 66 kerusi tersebut dengan tujuh kerusi diletakkan dalam Tier 1 (kuat/selamat), 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar/recovery).
Pembahagian ini menunjukkan bahawa sebahagian besar kerusi yang dikaji, iaitu sebanyak 46 kerusi (Tier 2B dan Tier 3), berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius.
Sebagai rekod, pada PRU15 pada tahun 2022, PKR secara keseluruhannya memenangi 31 kerusi Parlimen daripada 81 kerusi parlimen ditandingi.
Jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding PRU14 (2018) apabila parti itu memenangi 47 kerusi.
Menurut mereka dengan hanya tujuh kerusi yang dianggap benar-benar selamat (Tier 1), parti pimpinan Anwar Ibrahim sedang bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran yang sangat sengit di 59 kerusi yang lain demi mengekalkan dominasi mereka dalam kerajaan Perpaduan pada PRU16 akan datang.
Status PM bukan jaminan
Dalam senarai kerusi yang dimenangi pada PRU15, beberapa kawasan kini diletakkan dalam kategori Tier 2B (marginal), termasuklah Tambun yang dimenangi oleh presiden parti itu.
Pada PRU15, Anwar memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,735 undi dalam pertembungan sengit menentang Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
"Walaupun berstatus perdana menteri, data dalaman PKR menunjukkan bahawa sentimen di Tambun tidak menunjukkan peningkatan zon selamat. Analisa tersebut menekankan perlunya ‘gerak kerja mikro’ di peringkat Jentera Dalam Mukim (JDM).
Gombak dan Sungai Buloh di zon merah
Selain itu, kejutan besar dalam analisis tersebut adalah penempatan Gombak dan Sungai Buloh ke dalam Tier 3 yang disandang oleh dua naib presiden, iaitu Amirudin Shari dan R Ramanan.
Dalam istilah pilihan raya, Tier 3 adalah zon merah yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada pusat.
"Kemasukan Gombak ke Tier 3 menunjukkan PKR bimbang dengan kebangkitan semula pengaruh PN di Selangor, terutamanya melalui pengundi Melayu muda.
"Begitu juga dengan Sungai Buloh. Kemenangan Ramanan menentang Khairy Jamaluddin pada PRU15 dilihat sebagai satu keajaiban yang mungkin sukar diulang," kata sumber itu lagi.
Katanya, dengan demografi yang semakin berubah, PKR melihat Sungai Buloh sebagai kawasan yang sangat terdedah kepada perubahan arus politik semasa jika tiada pemulihan sokongan dilakukan segera.
Untuk rekod, Amirudin mula dikenali dalam PKR sebagai orang kuat Azmin dan menang DUN Batu Caves (kini Sungai Tua) pada 2008. Dia kemudian menjadi menteri besar Selangor pada Jun 2018, menggantikan Azmin, dan kekal menyandang jawatan itu selepas PRN 2023.
Di peringkat pusat, dia dipilih sebagai naib presiden PKR dalam pemilihan parti Julai 2022 dan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada Mei 2025, menandakan pengaruhnya yang kukuh dalam kepimpinan nasional.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dia memenangi kerusi Parlimen Gombak, mengalahkan mentornya Azmin yang mewakili Bersatu sekaligus menggabungkan peranan sebagai MB Selangor dan ahli parlimen.
Manakala, Ramanan pula memulakan karier politiknya dalam MIC sebelum menyertai PKR sebelum PRU15 menggantikan penyandang ahli parlimen Sungai Buloh R Sivarasah sebagai calon PKR.
Beberapa kerusi campuran juga dilaporkan berisiko
Analisis itu turut menyenaraikan Tanjung Malim di bawah Tier 2B.
Sebagai kerusi campuran di Perak yang disandang oleh Chang Lih Kang yang adalah menteri sains, teknologi dan inovasi, kedudukannya sangat kritikal.
"Analisis PKR menunjukkan bahawa kerusi campuran seperti Tanjung Malim tidak lagi boleh dianggap sebagai deposit tetap.
"Hakisan sokongan bukan Melayu atau peratusan keluar mengundi yang rendah daripada komuniti tersebut boleh menyebabkan kerusi ini jatuh ke tangan lawan dengan mudah.
"Strategi yang digariskan adalah dengan mengutamakan ‘calon lokal’ yang mempunyai hubungan organik dengan penduduk setempat, bukannya calon ‘payung terjun’ dari pusat," kata eorang sumber dari Perak.
Kerusi parlimen campuran lain yang tersenarai dalam Tier 2A dan 2B adalah Lembah Pantai (Fahmi Fadzil - Menteri Komunikasi), Nibong Tebal (Fadhlina Sidek - Menteri Pendidikan), Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir - Menteri Ekonomi) dan Sungai Petani (Taufiq Johari - Menteri Belia dan Sukan).
Permatang Pauh dan luka yang belum sembuh
Mungkin bahagian yang paling menyedihkan bagi penyokong reformasi adalah kedudukan Permatang Pauh yang kekal di Tier 2B.
Kehilangan kerusi tradisi keluarga Anwar pada PRU15 kepada calon PAS masih menjadi trauma politik buat parti.
"Slaid mencadangkan agar fokus diberikan kepada pemulihan jentera dan strategi serangan mikro.
"Penempatan Permatang Pauh di Tier 2B dan bukannya Tier 3 menunjukkan PKR masih yakin kerusi ini boleh dirampas semula.
"Namun ia memerlukan rombakan drastik terhadap cara parti mendekati pengundi luar bandar yang kini lebih cenderung kepada naratif PN," tambah sumber dari ibu pejabat itu lagi.
Rafizi dan pasukan di Tier 1
Menariknya, daripada tujuh kerusi yang disenaraikan dalam Tier 1, empat daripadanya adalah dipegang oleh bekas timbalan presiden Rafizi Ramli dan sekutunya.
Tiga kerusi lain dalam Tier 1 adalah Selayang (William Leong), Bayan Baru (Sim Tze Zin) dan Batu (P Prabakaran).









