Kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang menggambarkan DAP sebagai parti “paling teraniaya” di ceramah Pakatan Harapan di Negeri Sembilan malam tadi mengundang persoalan dan kritikan apabila beliau mendakwa DAP tidak “gila kuasa” walaupun memenangi banyak kerusi kerana tidak menuntut jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Bagi ramai pemerhati politik, kenyataan tersebut dilihat bukan sahaja tidak tepat dari sudut sejarah politik negara, malah berpotensi mengelirukan rakyat mengenai asas sebenar pembentukan kerajaan negeri serta peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri-negeri di Malaysia.
Persoalan utama yang timbul ialah adakah Mat Sabu cuba membina naratif simpati politik dengan mengetepikan fakta Perlembagaan Negeri?
Ini kerana jawatan Menteri Besar dan sebahagian jawatan Ketua Menteri di negara ini bukan ditentukan semata-mata berdasarkan jumlah kerusi dimenangi sesebuah parti, sebaliknya tertakluk kepada syarat tertentu yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan.
Justeru, apabila Mat Sabu menggambarkan seolah-olah DAP “berkorban besar” kerana tidak menuntut jawatan tersebut, kenyataan itu dianggap tidak menggambarkan keseluruhan realiti sistem pentadbiran negeri yang sebenar.
Lebih menarik, kenyataan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada jasa serta pengorbanan parti-parti lain dalam membina kerjasama politik pelbagai kaum sengaja diketepikan demi meraih sokongan semasa.
Pengkritik mengingatkan bahawa selama puluhan tahun UMNO memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu atas semangat perkongsian kuasa dan kestabilan politik dalam Barisan Nasional.
Malah, banyak kerusi tradisi yang dianggap “selamat” turut dikorbankan demi memastikan formula kerjasama antara kaum dapat dipertahankan. Ketika itu, pengorbanan tersebut tidak pula dijulang sebagai naratif “teraniaya”, sebaliknya dianggap sebahagian daripada semangat kompromi politik dalam negara majmuk.
Sebab itu ramai melihat kenyataan Mat Sabu hanya bersifat politik persepsi semata-mata.
Mat Sabu seharusnya lebih berhati-hati ketika menyentuh soal Perlembagaan Negeri dan struktur kuasa negeri. Kenyataan yang tidak tepat atau terlalu bersifat emosional boleh menyebabkan rakyat salah faham terhadap sistem Raja Berperlembagaan serta proses pelantikan ketua kerajaan negeri.
Jangan kerana terlalu ghairah mempertahankan sekutu politik, fakta Perlembagaan dan sejarah kerjasama politik negara akhirnya cuba diputarbelitkan demi membina persepsi tertentu.
Mat Sabu goyah di parlimen Kota Raja?
