Kesediaan PAS menerima Parti BERSAMA untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) mula membuka pelbagai tafsiran politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS terbuka mempertimbangkan kemasukan BERSAMA ke dalam PN, namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama Majlis Gabungan PN.
Kenyataan itu membawa mesej bahawa PN kini sedang berusaha memperluaskan pengaruh politiknya melalui pendekatan lebih inklusif dengan membuka ruang kepada parti-parti baharu menyertai gabungan tersebut.
Difahamkan, PN juga sedang meneliti beberapa lagi permohonan daripada parti lain yang mahu bersama gabungan itu.
Langkah itu juga memberi isyarat bahawa PAS kini semakin memainkan peranan dominan dalam menentukan hala tuju masa depan PN.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, malah yakin Menteri Besar itu mampu mengurus tanggungjawab besar di peringkat negeri dan nasional secara seimbang.
Namun di sebalik kenyataan rasmi tersebut, kemunculan BERSAMA dan beberapa parti baharu dalam radar PN mula mencetuskan persoalan lebih besar tentang bentuk sebenar gabungan pembangkang menjelang PRU akan datang.
Adakah PN sedang cuba membina “payung besar” pembangkang baharu?
Atau adakah langkah ini sebenarnya petanda bahawa gabungan tersebut masih mencari formula paling stabil untuk memperkukuh kedudukan politiknya selepas beberapa episod ketegangan dalaman sebelum ini?
