Persoalan yang jauh lebih besar ialah mengapa pengumuman tersebut dibuat oleh Muhyiddin Yassin, bukannya Ahmad Samsuri Mokhtar yang memegang jawatan Pengerusi PN.
Lebih menarik, PAS sebelum ini sudah pun mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di 16 kerusi DUN Melaka termasuk Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara dan Ayer Limau. Bermakna sebahagian besar kerangka pembahagian kerusi sebenarnya sudah diketahui umum lebih awal.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan baharu.
Jika PAS telah mengumumkan pendiriannya, apakah tujuan sebenar Muhyiddin tampil mengulangi bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi?
Dalam mana-mana gabungan politik, individu yang mengumumkan keputusan strategik lazimnya dianggap sebagai pemegang pengaruh utama dalam organisasi.
Pengumuman mengenai pembahagian kerusi, kesiapsiagaan jentera, rundingan politik serta pemilihan calon lazimnya datang daripada pemimpin yang dilihat mempunyai autoriti tertinggi terhadap hala tuju gabungan.
Walaupun Samsuri memegang jawatan Pengerusi PN, kenyataan berkaitan strategi pilihan raya terus dikeluarkan oleh Muhyiddin. Corak ini bukan berlaku sekali, malah berulang dalam pelbagai isu utama melibatkan gabungan tersebut.
Samsuri memegang jawatan tertinggi dalam struktur rasmi PN.
Muhyiddin pula terus muncul sebagai tokoh yang mengumumkan keputusan penting, menggerakkan naratif politik serta menjadi rujukan utama media apabila melibatkan masa depan gabungan itu.
Keadaan tersebut mengundang persoalan sama ada pusat kuasa sebenar PN masih berada pada individu yang sama seperti sebelum perubahan kepimpinan dilakukan.
Perkembangan ini berlaku ketika hubungan PAS dan Bersatu semakin menjadi perhatian ramai.
PAS bukan sahaja telah mengumumkan hasrat bertanding 16 kerusi, malah beberapa pimpinan parti itu kebelakangan ini turut memberi bayangan bahawa kerjasama politik sedia ada perlu dinilai semula menjelang PRU16.
Dalam suasana sedemikian, kemunculan Muhyiddin mengumumkan strategi PRN Melaka membuka ruang kepada pelbagai tafsiran politik.
Adakah beliau sedang memperkukuhkan kedudukannya dalam PN?
Atau adakah beliau cuba menunjukkan bahawa Bersatu masih menjadi pemain utama dalam menentukan hala tuju gabungan tersebut?
Kata pemerhati, Samsuri jenis penakut. Dalam isu menegur Bersatu pun Samsuri serahkan kepada Hadi Awang.

