PAS mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan isu berkaitan Perikatan Nasional (PN) termasuk masa depan parti itu bersama rakan komponennya, BERSATU.
Difahamkan mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di Kuala Terengganu, membabitkan kepimpinan tertinggi termasuk Biro Politik PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat.
Dipercayai mesyuarat itu yang diadakan dengan panggilan notis singkat, bermula jam 11 pagi tadi.
Sumber berkata, antara pemimpin PAS yang hadir termasuk, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Sebelum ini, hubungan PAS dan BERSATU kembali tegang apabila Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.
Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata ketetapan terbabit dibuat susulan siri tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.
Susulan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dilaporkan berkata parti itu akan membawa isu berkaitan hubungan dan kerjasama dengan PAS untuk dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dalam masa terdekat.
