PAS Selangor menafikan dakwaan bahawa parti itu bersetuju menyokong Ketua Pembangkang Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilantik semula sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Afif Bahardin tidak mencerminkan pendirian rasmi secara keseluruhan.
“Tiada keputusan rasmi dalam mana-mana mesyuarat PAS Selangor yang memutuskan sokongan pada Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan.
Sukri turut menjelaskan bahawa dakwaan mengenai persetujuan mengekalkan ‘status quo’ hanyalah tafsiran pihak tertentu dan bukan pendirian sebenar parti.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa suara akar umbi di Selangor cenderung mahukan PAS menerajui PN berdasarkan kekuatan gerak kerja parti itu.
“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengerusi PN untuk membuat keputusan terbaik,” ujarnya.
