Johor Sudah Menjawab, Siapa Lagi Masih Mahu Menjual Naratif Kegagalan?

Melaka Digest
By -
0

Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar mempertahankan pentadbiran negeri. Ia menyentuh terus kepada satu naratif yang semakin rancak dimainkan menjelang suhu politik yang kian memanas iaitu dakwaan bahawa Johor gagal berfungsi dan rakyat diabaikan.


Jika kerajaan negeri benar-benar tidak bekerja, mengapa setiap projek, dasar dan pelaksanaan dipantau secara langsung hingga ke peringkat tertinggi? Jika pentadbiran sekadar bergerak atas kertas, mengapa Menteri Besar serta Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri perlu memberikan penjelasan secara berterusan mengenai kemajuan projek yang sedang berjalan?

"Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan yang mentadbir tidak membuat kerja.

"Saya 'monitor' (memantau) kerajaan saya. Saya memastikan kerajaan ini buat kerja," titah baginda pada satu sesi bersama rakyat Johor, hari ini.

"Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Datuk Menteri Besar, boleh tanya Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Sampai kadang-kadang jam tiga pagi pun saya telefon dan tanya kenapa benda ini belum siap?" titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail sekali gus menegaskan Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan 'lakonan'.

Sebaliknya, baginda bertitah, Johor mahu kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.

"Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng.

"Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan.

"Visi tanpa pelaksanaan, hanyalah satu halusinasi," titah baginda.

Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa Kerajaan Johor tidak bekerja atau gagal menjaga kebajikan rakyat, sedangkan banyak kelewatan pembangunan turut berpunca daripada proses kelulusan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.


Tunku Mahkota Ismail bertitah, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, kemampuan turun padang, dan hasil yang berjaya dilaksanakan.


Baginda turut mengingatkan bahawa mencari kesalahan dan membuat janji ketika menjadi pembangkang adalah mudah, namun tidak semua pihak mempunyai keupayaan untuk mentadbir apabila diberikan amanah.

"Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang.

"Namun apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir," titah baginda.

Titah baginda mendedahkan satu realiti yang jarang dibincangkan. Menyerang kerajaan melalui ceramah politik jauh lebih mudah berbanding membuktikan kemampuan mentadbir sebuah negeri yang sedang berkembang pesat. Mengkritik tidak memerlukan keputusan. Mentadbir memerlukan hasil.

Johor tidak memerlukan pertandingan siapa paling lantang bercakap. Johor memerlukan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, mempercepat pembangunan dan memastikan keputusan diterjemahkan kepada manfaat rakyat.

Akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan fakta, prestasi dan hasil yang dapat dilihat. Dalam politik, mencari kelemahan lawan sentiasa mudah. Membuktikan keupayaan sendiri untuk mentadbir dengan lebih baik adalah cabaran sebenar.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)